Pemandu Mabuk : Zahid Sokong Penuh Komitmen Menteri Pengangkutan

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong penuh komitmen Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di dalam menangani isu pemandu mabuk.

“Menyokong penuh tindakan dan komitmen Menteri Pengangkutan dalam membela serta menegakkan keadilan untuk mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat dengan kemalangan akibat perlakuan pemandu yang tidak bertanggungjawab kerana memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam satu hantaran di Facebook sambil meninggalkan tanda pagar #HukumanBeratPemanduMabuk.

Negara malam tadi dikejutkan sekali lagi berita kematian akibat pemandu mabuk di Kuantan, Pahang yang mengorbankan mangsa, Irwan Herman Kamaruddin, 41 tahun, kakitangan Syarikat Alam Flora yang dalam perjalanan untuk bertugas syif malam.

Dalam satu hantaran di platform media sosial yang sama, Dr Wee menyatakan akan bertindak dan komited demi pembelaan kepada mangsa korban dalam kemalangan maut akibat pemandu mabuk dan juga menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa.

“Saya menggunakan kesempatan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini untuk berada di Pejabat Menteri Pengangkutan bagi meneliti semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol / dadah / memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

“Justeru itu, pada 1 Jun 2020, saya akan memanggil satu sesi taklimat di Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan untuk segera meneliti dan menyemak cadangan pindaan Akta berkaitan.

“Pindaan Akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambilkira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ianya dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” jelas Presiden MCA itu lagi.

Dr Wee turut melampirkan soal selidik yang dijalankan oleh MOT melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat (BLPD) seperti di pautan berikut:

https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdFO_IIrh6otCgdFLcr9p1-cggYWWfirK6bQu90AWdBhxFVaA/viewform.

Dalam isu yang sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Wan Rosdy berharap jalan penyelesaian yang lebih komprehensif perlu diambil bagi memastikan tiada lagi insan tidak berdosa menjadi mangsa.

“Pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 perlu dilaksanakan segera. Sudah nyata, bahawa hukuman sedia ada terlalu ringan, gagal mencegah sehingga menyebabkan terlalu banyak kes berulang.

“Hukuman mandatori yang lebih berat perlu dikenakan terhadap kesalahan memandu mabuk. Jangan dibiarkan rakyat Malaysia terus dihantui dengan perbuatan jahat golongan yang tidak bertanggungjawab ini,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker