Insiden polis dirempuh semakin meningkat

ANGGOTA polis dan tentera yang bertugas ketika melakukan pemeriksaan kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) perlu menjaga keselamatan diri bagi mengelak dirempuh.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, langkah keselamatan itu perlu dipertingkatkan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, ini berikutan kejadian anggota polis dirempuh di sekatan jalan semakin meningkat.

Katanya, beliau tidak mahu anggotanya tercedera ataupun maut ketika melaksanakan ‘Op Covid’ dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepanjang tempoh Aidilfitri ini.



“Ini kerana jumlah kenderaan yang diperiksa di sekatan juga bertambah dan segala kemungkinan boleh berlaku sekiranya langkah keselamatan tidak diambil.

“Insiden anggota polis dilanggar atau dirempuh ketika dalam operasi sekatan jalan raya sebelum ini semakin meningkat dan langkah berhati-hati perlu dilakukan untuk membendung masalah itu,” katanya ketika lawatan di sekatan jalan di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Rozi berkata, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dititikberatkan iaitu memastikan jarak selamat dan melakukan sekatan di lokasi tidak tersorok selain mudah dilihat dari jarak jauh.

“Untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku, kita mengadakan sekatan dengan membuat lencongan pada jarak yang boleh dilihat dan selamat.



“Sekatan itu dilakukan di kawasan zon yang mudah dilihat pergerakan kenderaan selain pemakaian baju pantulan cahaya pada waktu malam bagi memastikan pemandu kenderaan dapat melihat anggota kita di kawasan sekatan pemeriksaan,” katanya.

Terdahulu Mohd Rozi melakukan tinjauan di tujuh lokasi sekatan jalan raya di daerah Alor Setar selain menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anggota yang bertugas.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rozi berkata, setakat ini pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di 200 buah rumah sekitar daerah Kota Setar untuk memastikan tiada individu yang curi pulang ke kampung.

Katanya, pemeriksaan itu dilakukan berdasarkan maklumat orang awam dan risikan namun setakat ini tiada kes tangkapan dilakukan.



“Ini jelas menunjukkan kepatuhan rakyat dalam memastikan rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan amat tinggi.

“Sehingga hari ini, tiada lagi kes baru dicatat di daerah ini dan saya berharap masyarakat terus duduk di rumah dan jaga kesihatan masing-masing bagi mengelakkan jangkitan berlaku,” katanya.

HM



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker