Ingin mohon maaf mangsa disamun

Share

 

“KALAU boleh saya ingin jumpa dan mohon maaf dengan mangsa samun yang pernah saya cedera sebelum ini.”

Begitu kata-kata Aidil, 25 (bukan nama sebenar) yang menyambut Aidilfitri dalam penjara buat kali keempat kerana kesalahan samun bersenjata.

Aidil kini menjalani hukuman enam tahun penjara dan dua sebatan di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10 Kuantan.

Menurutnya, dia melakukan samun kedai sebanyak RM7,000 dilarikan pada 2015 namun ditangkap polis tiga tahun selepas itu.

Pengaruh dadah mendorong dia terbabit dengan aktiviti jenayah itu yang tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Aidilfitri kali menginsafkan saya perbuatan jahat yang pernah dilakukan sebelum.

“Saya banyak melakukan dosa apabila sanggup melakukan apa sahaja semata-mata inginkan wang untuk membeli dadah,” katanya yang kali pertama menerima hukuman di penjara di Sabah enam tahun lalu.

Aidil yang lima kali menerima hukuman penjara sebelum ini berkata, dia banyak melakukan dosa dengan mak dan ayah apabila tidak mendengar nasihat serta teguran mereka yang memberi sepenuh kasih sayang padanya sejak kecil.

Sementara itu, rakannya Asraf, 25 (bukan nama sebenar) berkata, perasaan sedih, sayu dan menyesal perbuatan jahat dilakukan sebelum ini akan muncul setiap kali menyambut Aidilfitri dalam penjara.

Dia yang menerima hukuman lapan tahun penjara dan dua sebatan kerana kesalahan samun berkumpulan dengan kekerasan kini menjalani tempoh tahanan di PRP Kem Batu 10 Kuantan.

“Aidilfitri kali ini merupakan kali kelima saya beraya dalam penjara bersama rakan senasib,” kata Asraf.

Ingatan terhadap keluarga juga menjadi semakin kuat hingga menitis air mata.

“Detik takbir raya dan solat Aidilfitri membuatkan saya dan rakan penghuni PRP Kem Batu 10 Kuantan menitis air mata, sejahat mana mereka sebelum ini rasa sebak pasti berlaku hingga timbul rasa insaf.

“Saya kini insaf dengan perbuatan jahat yang pernah dilakukan sebelum ini. Pengaruh dadah yang kuat menyebabkan saya sanggup melakukan apa sahaja demi kepuasan diri,” katanya, di Kuantan, hari ini.

Asraf yang berasal dari Selangor berkata, dia mula terbabit dengan penagihan dadah sejak berusia 13 tahun, bermula dari situ dia terjebak dengan kegiatan samun berkumpulan apabila terikut dengan beberapa rakan yang lebih dewasa.

Katanya, sebanyak 11 kali dia ditangkap polis namun hanya ditahan beberapa hari sahaja di lokap kemudian dilepaskan berikutan tidak mempunyai bukti kukuh selain dijamin keluarga.

Menurutnya, sepandai tunai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, dia ditangkap pada 2016 selepas menyamun dan memukul seorang lelaki dan melarikan RM10,000 dalam masa beberapa minit sahaja.

“Saya menerima hukuman lapan tahun penjara dan dua sebatan, sebelum ditempatkan di PRP Kem Batu 10 Kuantan saya berada di Penjara Kajang, dan Penjara Sungai Buluh, Selangor serta Penjara Bentong, Pahang.

“Saya kini insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan. Banyak dosa dilakukan sebelum ini. Didikan agama diterima sepanjang berada PRP Kem Batu 10 Kuantan memberi sinar baru pada saya, Aidilfitri kali ini memberi erti begitu bermakna untuk menjadi manusia berguna selepas ini,” katanya akan dibebaskan tahun depan.

HM

(Visited 24 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!