HARI KEBEBASAN AKHBAR SEDUNIA

Saya mengucapkan selamat Hari Kebebasan Akhbar Sedunia kepada golongan wartawan dan pengamal media di seluruh Malaysia.

Media massa sememangnya banyak mempengaruhi kehidupan kita setiap hari, apatah lagi lagi dalam tempoh Covid-19 ini, banyak maklumat perlu disebarkan kepada rakyat.

Melalui laporan dan tulisan mereka, wartawan dapat mempengaruhi pandangan atau sikap masyarakat.

Saya sendiri amat berterima kasih kepada media kerana membantu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyampaikan maklumat kepada usahawan dan rakyat sama ada melalui media mainstream mahupun digital.

Wartawan boleh berada di mana saja. Kerjaya sebagai wartawan memang menarik dan boleh membawa seseorang itu ke banyak tempat, selain berjumpa ramai personaliti unik daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Malah saya menyifatkan media sebagai satu kuasa yang berpengaruh dalam demokrasi dan disebut sebagai ‘fourth estate’ kerana kebaikan peranannya itu.

Namun, hari ini media digital lebih digemari kerana membolehkan maklumat tersebar dengan lebih cepat dan lebih luas – menjadikan platform-platform ini sumber maklumat utama masyarakat.

Bagaimanapun, platform-platform ini semakin cepat menjadi tempat untuk memanipulasikan kebenaran dan mempengaruhi pandangan orang ramai.

Oleh yang demikian, saya menasihatkan rakyat agar bijak menggunakan platform ini agar tidak dijadikan sebagai medium menyebarkan berita palsu dan fitnah.

Kepada pengamal media pula, kredibiliti adalah sangat diperlukan sebagai satu penanda aras paling penting dalam industri media hari ini dan pada masa depan.

Sebagai golongan yang berpengaruh, saya harapkan para wartawan dan pengamal media dapat memegang tanggungjawab dalam menjalankan tugas dengan baik serta menjunjung prinsip dan amalan etika kewartawanan.

YB. Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Menteri
Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker