Polis maut dilanggar pemandu mabuk di sekatan jalan di Kajang

Seorang anggota polis maut dilanggar kenderaan dipandu pemandu yang dipercayai mabuk, ketika bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban, di Kajang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.11 pagi itu, Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata hasil siasatan mendapati pemandu berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju Plaza Tol Kajang Selatan.

“Apabila sampai di sekatan jalan raya, pemandu Hilux gagal mengawal kenderaannya kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar seorang anggota polis yang sedang bertugas, sebelum melanggar kenderaan anggota yang diletakkan di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Zaid berkata, laporan polis sudah dibuat penyelia SJR, manakala pemandu itu yang turut mengalami kecederaan ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.
“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.”

Jenazah mangsa yang berasal dari Ipoh, dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, polis dalam kenyataan di Facebook rasminya, berkata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dan seluruh warga polis mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Safwan.



Jenazah Safwan yang kini berada di Hospital Serdang akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Ulu Kinta, Perak untuk dikebumikan.

“Sesungguhnya pemergian Allahyarham Koperal Safwan yang berkhidmat sehingga ke hujung nyawa merupakan satu kehilangan besar buat pasukan, khususnya warga IPD Kajang.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada’. Al-Fatihah,” menurut kenyataan itu.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker