KKM saran penuntut di kampus tidak dihantar pulang
Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua pelajar yang masih berada di kampus tidak dihantar pulang ke kampung masing-masing buat masa ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penting dalam menentukan kejayaan untuk memutuskan rantaian pandemik koronavirus (Covid-19).
“Cadangan kita, nasihat kita kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersabar.
“Mungkin dalam seminggu dua sekurang-kurangnya atau dalam tempoh seminggu kita akan melihat data yang terkini.
“Jadi, kalau kita ada data-data yang terkini untuk tempoh seminggu dalam fasa ketiga ini, kita boleh memberi nasihat kepada KPT,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kementerian itu yang sedang meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing.
Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad dilaporkan berkata, keutamaan ketika ini bukan hanya menghantar pulang mereka tetapi pulang dalam keadaan selamat dan sihat.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, pelaksanaan PKP fasa ketiga yang akan bermula 15 April ini perlu diperketatkan lagi supaya wabak itu dapat ditangani sebaiknya.
“Kita perlu memperketatkan lagi kawalan kita (dalam fasa ketiga) untuk menurunkan kes dan unjuran kita.
“Kita mungkin akan berjaya sekiranya semua rakyat Malaysia bersama KKM,” katanya.
Sinar
You must be logged in to post a comment.