Covid-19 : Urus manusia terkurung

Share

Oleh AB JALIL BACKER

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 (PKP3) selama 14 hari lagi pasti mengundang keresahan pelbagai pihak terutamanya kumpulan yang bekerja sendiri, perusahaan kecil dan bergaji harian.

Jika pembaca masih ingat, ruang ini minggu lalu membincangkan kemungkinan PKP3 ini berikutan jumlah pesakit positif Covid-19 masih tidak menurun daripada angka 100 orang sehari.

PKP disambung kerana kita masih gagal memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 yang bermula dari sebelum PKP lagi, bukannya kerana kegagalan pematuhannya.

Kebanyakan jangkitan Covid-19 yang dikesan sehingga semalam masih membabitkan kluster Sri Petaling, Kluster Itali dan mereka yang pulang dari luar negara.

Sehingga kini kita masih ada ribuan kes yang menunggu keputusan setiap hari, namun kita juga berjaya menyaring lebih 70,000 orang dan hanya 4,000 lebih yang positif. Kadar kematian kita juga adalah rendah berbanding jumlah yang dipulihkan.

Malaysia dan hampir kesemua negara di dunia berhadapan masalah kekurangan makmal dan antigen untuk ujian Covid-19 kerana terlalu ramai yang perlu disaring dalam masa singkat.

Malaysia atau mana-mana negara pun tidak mempunyai puluhan ribu peralatan respirator dan ventilator untuk membantu pesakit Covid-19 secara serentak.

Justeru, kita perlu memperlahankan penyebaran wabak agar tidak wujud keadaan pesakit dibiarkan tanpa rawatan seperti yang berlaku di Itali.

Selepas ‘dikurung’ 28 hari, walaupun cukup makan, minum dan kemudahan, mental sebahagian rakyat tidak lagi bersedia untuk berterusan berada dalam budaya terkurung.

Ini menyebabkan mereka berasa tertekan, kecewa dan mula mencari salah semua pihak. Selain faktor lama dihadkan pergerakan, ada beberapa perkara yang menyebabkan sebahagian rakyat mula bersikap negatif.

Pertama, kita tiada sasaran jelas yang boleh difahami rakyat biasa. Kita mengulang-ulang cerita graf dan istilah flatting the curve. Apa makna meratakan lingkungan jangkitan itu kepada rakyat biasa?

Pelbagai andaian termasuklah kononnya kerajaan akan menunggu sehingga sifar kes Covid-19 sebelum PKP dimansuhkan. Ini tentulah tidak tepat dan tidak boleh dijadikan landasan keputusan kerajaan.

Mental rakyat

Justeru, kerajaan perlu memberi harapan yang jelas dan mudah difahami. Misalnya, meletak sasaran yang dianggap sesuai untuk menamatkan PKP ini berdasarkan penurunan kes positif kepada angka 40-50 kes sehari dan pemutusan rantaian Covid-19 kluster besar sebagai KPI.

Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan tekanan mental rakyat yang berada dalam ketidakpastian.

Kedua, tindakan kerajaan mula mengawal maklumat yang sebelum ini boleh diakses oleh rakyat.

Sejak beberapa hari lalu portal statistik Covid-19 Kementerian Kesihatan menggugurkan ruangan jumlah yang disaring dan jumlah yang menunggu keputusan ujian. Ini hanya mengundang perasaan curiga yang mahu disembunyikan kerajaan.

Ketiga, tindakan kerajaan memberi kelonggaran kepada industri tertentu seperti kedai gunting rambut, kedai selenggara kereta dan kedai barangan elektronik dalam PKP3 menimbulkan keresahan akan wujud gelombang baharu.

Mereka yang masih terkongkong dengan PKP3 melihat ini satu keputusan yang memberi kebebasan kepada ramai orang untuk keluar rumah atas alasan tersebut dan akan menaikkan semula graf penyebaran Covid-19.

Pada hemat saya kerajaan sepatutnya mengekalkan PKP3 seperti PKP2 sebelum menamatkannya terus pada 28 April nanti dan membenarkan semua perniagaan beroperasi seperti biasa.

Dalam masa sama, rakyat terutama orang Islam harus menerima hakikat budaya Ramadan kita pada tahun ini perlu berubah demi kemaslahatan rakyat seluruhnya. Berdoalah kita segera bebas Covid-19.

Sinar

Leave a Reply