Annuar Musa gagal kawal emosi. .

Perbualan yang rancak sejak bermulanya wawancara bersama wartawan MalaysiaGazette pagi tadi tiba-tiba bertukar sebak sebaik sahaja Tan Sri Annuar Musa ditanya tentang isu gelandangan di ibu kota.

Beliau meminta maaf dengan nada tersekat-sekat sehingga ke satu peringkat air mata Menteri Wilayah Persekutuan itu dilihat gugur juga biar pun dalam tempoh sebulan ini jiwa Annuar dilihat begitu kental berhadapan dengan isu gelandangan.

Ternyata pengalamannya menyaksikan sendiri ‘penderitaan’ gelandangan memberi kesan yang bukan sedikit di hatinya apatah lagi sebaik sahaja mendapat perkhabaran bahawa jumlah golongan itu di ibu kota mencecah 1,000 orang.

“Saya mohon maaf. Maafkan saya. Ini soal kemanusian, ini isu kemanusian.

“Sayatengok gelandangan itu masalah bangsa (sambil menahan sebak). Gelandangan ini juga masalah kemanusian (menangis), bila saya jumpa mereka-mereka ini, saya dengar sendiri macam-macam. Mereka ini susah.

“Sebenarnya satu hikmah di sebalik kita menangani isu Covid-19 ini, kita juga secara tidak langsung dapat mendekati, memperhalusi golongan ini. Kita tubuhkan satu jawatankuasa khas secara harian uruskan krisis ini, antara isu adalah juga kumpulan gelandangan ini.

“Kita tidak boleh biarkan golongan ini terus merayau-rayau dan tinggal di merata maka golongan ini juga akan terdedah dengan bahaya penyakit ini. Ingat ya, penyakit tidak kenal darjat, kaya papa kedana, merempat mahupun miskin.

“Saya minta segera himpunkan mereka dengan tanggapan bahawa kumpulan ini sekadar 200 hingga 300 orang sahaja, rupanya hampir seribu. Saya terkejut.

“Apa gunanya kita ada bangunan pencakar langit, di celah-celah itu wujudnya golongan seperti ini, bayangkan apa yang difikirkan oleh orang luar khasnya pelancong dengan negara kita khasnya di bandaraya seperti ini,” katanya ketika memulakan bicara.
Annuar, pada awalnya perancangan beliau hanyalah mengumpulkan golongan gelandangan ini di satu penempatan selamat sehingga PKP namun apabila mula mendekatkan diri, beliau sedar tanggungjawab dan amanah itu lebih daripada itu.

“Ini bukan lagi soal beri makanan dan tempat tinggal sementara, ini soal kehidupan mereka selepas ini. Saya banyak berfikir, lagipun ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ahli keluarga saya selama ini begitu aktif dalam menjaga kebajikan khasnya makan minum mereka.

“Ketika melawat pusat penempatan mereka baru-baru ini, saya ada bertanya tentang keluarga, mereka tidak mahu bercakap. Kalau bercakap kerja, mereka juga tidak mahu. Mereka terima kehidupan mereka seadanya.

“Saya tidak sampai hati tengok keadaan transit mereka, ada tilam dan bantal sahaja. Saya tanya mengapa dengan kapasiti kita, mengapa tidak kita buat lebih? Jangan bagi makan sahaja, tapi beri kaunseling, sediakan ruang solat, ajar mereka kebersihan diri dan beri keyakinan.

“Kalau boleh potong rambut, berikan selimut bila tidur. Lepas itu saya terfikir, tamat PKP, maknanya kita lepaskan mereka, kumpulan ini akan kembali pada alam kehidupan mereka kembali. (menangis lagi).

“Saya ambil langkah lebih sikit, cari hostel lebih besar, saya tidak mahu lepaskan mereka. Selepas berunding dengan beberapa syarikat melalui Datuk Bandar, kita bukan sahaja berjaya cari tempat untuk dijadikan hostel kediaman sebaliknya juga pekerjaan untuk 700 orang.

“Dewan Bandaraya sendiri akan ambil sebahagian daripada mereka bekerja mengindahkan dan membersihkan Kuala Lumpur manakala ada juga syarikat swasta akan ambil mereka dan berikan pekerjaan dengan gaji RM1,400.

“Semua ini bukan dalam perancangan lagi sebaliknya sudah jadi realiti, mungkin 1 Mei ini. Kita perlu golongan gelandangan ini melalui beberapa saringan terlebih dahulu sebelum ambil mereka bekerja.

“Jika kita ajak atau tawar, mungkin mereka tidak mahu jadi kita akan paksa mereka.

“Terus terang saya cakap, benda yang kita rasa payah ini jika kita usaha, Tuhan akan mudahkan ia. Saya sendiri tidak sangka, dipermudahkan.

“Semua yang saya fikir, jadi kenyataan. Bukan kerajaan sahaja sebaliknya rakyat Malaysia ini sendiri datang memberi bantuan, macam-macam semuanya tampil beri sokongan, untuk itu sememangnya terima kasih sangat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1,000 gelandangan di KL dipindah ke 3 kem PLKN

Related Articles

2 Comments

  1. Teruskan usaha murni in, YB. Banyak bangunan2 flat lama yang kosong di Bandaraya KL yang boleh diperbaiki dan dicantikkan untuk dijadikan tempat tinggal gulongan gelandangan yang malang ini. Tubuhkan satu badan untuk memantau dan mengurus kebajikan mereka, memberi bantuan kewangan, kesihatan,, kaunselling, latihan kemahiran, pendidikan rohani dan jasmani dan mendapatkan pekerjaan atau bidang perniagaan dari rumah . Pastikan anak2 mereka ditempatkan di sekolah2 untuk dapat pendidikan sempurna. Badan ini boleh dijadikan satu Yayasana atau Tabung Dana untuk orang ramai dan Syarikat2 menyalurkan sumbangan berupa wang atau barang2. Usaha YB itu sudah pasti disokong sepenuhnya oleh semua, Teruskan dan kami doakan ia akan berjaya, insya Allah.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker