COVID-19: JANGAN SALAHKAN RAKYAT SAHAJA

oleh Ab Jalil Backer

Lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April ini memberi banyak tekanan emosi dan ekonomi kepada rakyat bawahan dan M40 aras bawah.

Kita faham kerajaan perlu melanjutkan agar memudah usaha mengawal is pandemik ini.

Cuma tidak sewajarnya Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador mahu mengugut rakyat.

Noor Hisham dilaporkan berkata, “I’ve been using the carrot for the past couple of weeks but perhaps it is time for us to use the stick. The choice is the public’s. ”

Manakala Hamid Bador memberitahu media ” Jangan terkejut kalau kena gari langgar PKP.”

Dua kenyataan ini jelas mahu menyelamatkan diri dari kritikan umum dan menyalahkan rakyat atas merebaknya Covid-19.

Sedangkan hari ini Perdana Menteri menyatakan tahap kepatuhan rakyat kepada arahan PKP ialah 95%, jadi mengapa ketua-ketua operasi ini masih cuba menyalahkan rakyat atas penularan wabak ini.

Kenyataan Noor Hisham jelas menunjukkan kelemahan beliau menangani wabak ini.

Dalam menangani pandemik (yang telah diketahui sangat berbahaya sejak Januari 2020) mengapa sehingga berminggu lalu beliau masih tidak bertindak tegas? Mengapa cerita “Carrot” jika boleh gunakan ‘stick’ sejak awal?

Menangani pandemik bukan seperti membuat kempen ambik vaksin atau jaga kebersihan diri. Ia harus diuruskan dengan cekap dan tegas sejak awal.

Mengapa tiada persediaan mendapatkan kit ujian lebih banyak sejak Februari 2020. Mengapa sudah terhantuk baru tergadah.

Sekarang semua rakyat terpaksa menanggung beban berkurung selama dua puluh lapan hari dan Ketua Pengarah Kesihatan masih mahu bercakap soal salah rakyat?

Kita mahu tahu berapa banyak kes penularan ini akibat kegagalan pematuhan kepada PKP atau ia kes-kes lebih awal yang gagal ditangani oleh kementerian kesihatan?

Misalnya mengapa kes kluster tabligh belum selesai sepenuhnya sehingga minggu ini? Bukankah sepatutnya dari awal diarahkan pencarian besar-besaran menggunakan semua jentera penguatkuasa?

Bukankah Kementerian sendiri tidak mempunyai kemampuan mengadakan ujian besar-besaran ke atas perserta tabligh kerana kekurangan kit ujian dan makmal berkemampuan?

Noor Hisham juga telah mengarahkan kluster tabligh mengadakan kuarantin rumah sebelum mendapat keputusan ujian. Sepatutnya mereka dikuarantin ditempat lain. Apabila kuarantin rumah maka ia telah menjangkit kepada keluarga pula.

Selain kluster tabligh, dari mana datang jangkitan lain? Apakah tindakan drastik kerajaan sebelum perkara ini jadi berlarutan?

Jadi sebelum menunding jari kepada rakyat, kerajaan juga harus menunjukkan keseriusan mereka dalam mengawal wabak ini terutama mengenal pasti mereka yang bersiko dijangkiti dan mengkuarantin mereka.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker