KP Kesihatan pertimbang guna ubat dari China, Jepun ubati Covid-19

Share


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sedia mempertimbangkan sejenis ubat berasal dari China dan Jepun yang dipercayai dapat memberikan kesan lebih cepat dalam usaha memulihkan pesakit Covid-19.

Noor Hisham berkata, beliau boleh meluluskan penggunaan ubat berkenaan di dalam negara, memandangkan ubat itu pada ketika ini masih tidak didaftarkan di Malaysia.

“Bagaimanapun ubat itu kita kena kaji kerana ada kesan sampingan. Kita kena berhati-hati apabila menggunakan ubat tersebut. Ada 2 jenis ubat iaitu Avigan dan Fukaikan, ia adalah ubat yang sama tetapi Avigan dari Jepun dan Fukaikan dari negara China.

“Kita kena pastikan pemantauan yang rapi apabila kita hendak gunakan ubat tersebut walaupun ubat itu tidak didaftarkan tetapi dengan kelulusan ketua pengarah kesihatan, kita boleh benarkan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Pada masa sama, Noor Hisham memaklumkan dalam menyelaraskan petugas di barisan hadapan yang pada ketika ini sudah bekerja tanpa henti selama 3 bulan, seramai 3,400 petugas akan dikerahkan ke klinik kesihatan dan hospital.

“2,500 daripada mereka adalah jururawat yang berpengalaman tetapi sedang menjalani latihan, kita akan gunakan mereka untuk bantu di klinik dan hospital. 3,000 jururawat yang sudah bersara juga sudah mendaftar secara sukarela,” katanya.

Tambahnya, dalam menguruskan jururawat yang sudah bersara, pihaknya sedang mengenalpasti kepakaran mereka, dalam menentukan penempatan sama ada di klinik kesihatan atau di hospital.

“Kita dapat tampung semuanya kalau kita kerahkan sumber manusia yang sedia ada,” katanya.

KKM turut memberitahu pihaknya akan melihat kemampuan penggunaan “rapid test-kit” untuk antigen pada Jumaat ini dalam usaha kementerian melaksanakan pemeriksaan secara besar-besaran.

Noor Hisham berkata, sekiranya penggunaan “rapid test-kit” itu efektif, ia akan digunakan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan “hot spot” dan beberapa kumpulan sasaran seperti kumpulan jemaah tabligh.

“Ketika ini, kemampuan di KKM kita ada 18 makmal termasuk di pihak swasta yang ada 5. Sekarang kita meningkatkan lagi keupayaan kita untuk kesan.

“Sekarang ini kita boleh buat 6,000 sampel sehari, kita jangkakan kita boleh tingkatkan. Kita tunggu Jumaat ini, kalau disahkan berkesan kita boleh gunakan antigen itu untuk mengesan lebih cepat dan lebih tepat lagi wabak Covid-19 ini,” katanya.

FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *