Sekatan keluar antara negeri berkuat kuasa malam ini
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya sudah bersedia sejak dua minggu lalu untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang akan berkuatkuasa esok.
Antaranya, adalah sekatan keluar antara negeri atau domestik yang akan berkuat kuasa malam ini.
“Orang ramai yang ingin balik kampung perlu maklumkan pergerakan mereka kepada polis.
“Mana-mana individu atau premis yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan boleh dikenakan tindakan.
“Kalau pelanggaran berleluasa dalam tempoh dua minggu ini, PDRM akan mengambil tindakan yang lebih drastik,” katanya pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.
Hamid berkata, ketika ini, belum sampai tahap untuk mengadakan sekatan jalan raya.
Menurutnya, bilangan anggota polis ditugaskan untuk menguatkuasakan larangan itu juga adalah mencukupi.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya mengingatkan orang ramai bahawa kegagalan mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa tengah malam ini, boleh dikenakan hukuman penjara.
Katanya, ini mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
“Bagi kesalahan pertama, individu yang gagal mematuhi arahan boleh dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
“Kesalahan kedua atau berikutnya boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan yang berterusan, individu berkenaan akan didenda RM200 bagi tiap-tiap kesalahan berterusan,” katanya.
Mkini
You must be logged in to post a comment.