PH kerajaan sepenggal boleh jadi kenyataan jika Kabinet tak dirombak, kata penganalisis

Penganalisis politik percaya bayangan “kerajaan sepenggal” boleh jadi kenyataan bagi pentadbiran Pakatan Harapan jika Kabinet tidak dirombak segera.

Kamarul Zaman Yusof dari Universiti Utara Malaysia berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad harus mengambil inisiatif yang drastik bagi menghentikan “gelombang” penolakan rakyat.

“Perkembangan masa ini boleh menjadikan kerajaan sepenggal…memang PH kalah berturut-turut sebanyak 5 kali…wujud satu perkembangan konsisten mengenai penolakan rakyat terhadap PH,” katanya kepada FMT.

Semalam, Mahathir berkata gabungan pemerintah boleh menjadi kerajaan sepenggal jika ia tidak melakukan beberapa perubahan susulan kekalahan sekutu PH, Warisan pada Pilihan Raya Kecil Kimanis pada Sabtu.

Kekalahan itu disebalik tinjauan yang menunjukkan kemerosotan populariti dalam kalangan orang awam.

Kamarul berkata rombakan Kabinet perlu dilakukan untuk “buang” menteri yang tidak disukai rakyat dan mereka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Beliau percaya rombakan boleh memulihkan keyakinan rakyat terhadap PH ke tahap yang “tidak seteruk seperti sekarang ini”.

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya bersetuju PH berisiko menjadi kerajaan sepenggal, mengatakan PRK Kimanis indikator yang sangat kuat dari kawasan separa-bandar.

“PH seolah-olah lupa mengapa rakyat tolak BN dan undi PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya kepada FMT.

Beliau mengingatkan keputusan di Kimanis merupakan undi protes dan isyarat kepada PH “supaya kembali ke landasan yang betul”.

“Apabila asyik menyalahkan rakyat kerana mengkritik dan mahukan perubahan lebih cepat, ia sebenarnya tidak menyelesaikan masalah dan asyik berdalih,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker