PM mesti bertanggungjawab atas kekalahan PRK – RamKarpal

Sebagai ketua kerajaan, Dr Mahathir Mohamad mesti bertanggungjawab atas kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam lima pilihan raya kecil (PRK), termasuk di Kimanis, Sabah pada hujung minggu lalu, kata seorang ahli parlimen DAP.

Mengulas mengenai hakisan sokongan itu dan amaran bahawa PH boleh menjadi kerajaan satu penggal, Ramkarpal Singh berkata kenyataan perdana menteri bahawa beliau sanggup bekerja dengan bekas musuh adalah tidak baik buat gabungan itu.

“Pengesahan PM bahawa beliau terbuka untuk bekerja dengan sesiapa sahaja, selagi bukan dengan bekas PM Najib Razak membayangkan bahawa PH boleh bekerjasama dengan orang-orang seperti Umno dan yang lain yang kita singkirkan pada PRU14.

“Ini tentunya tidak memberi keyakinan kepada komitmen PH terhadap pembaharuan sebenar, selepas mengalahkan BN yang telah berkuasa 61 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mahathir berkata beliau tidak memendam dendam dan menghuraikan bagaimana dirinya memilih untuk bekerjasama dengan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang demi kebaikan negara.

Perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi bahawa penyokong beliau cuba membawa masuk PAS dalam kerajaan persekutuan.

Walaupun beliau tersenyum apabila soalan itu diajukan kepadanya, Mahathir berkata: “Kamu tahu, saya boleh bekerja dengan (bekas perdana menteri) Najib Razak sebelum ini? Tapi, sekarang saya boleh bersama dengan (veteran DAP) Lim Kit Siang.

Sementara itu, Ramkarpal berkata walaupun beliau bersetuju bahawa perbalahan dalaman PH harus dihentikan, isu-isu lain, seperti peralihan kuasa juga perlu ditangani.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berhujah tempoh masa yang jelas mesti ditetapkan untuk Mahathir melepaskan jawatannya itu kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Suka atau tidak, isu ini telah mewujudkan ketegangan di PH dan boleh merosakkan jika tidak ditangani dengan segera,” katanya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker