Shafee Apdal nak tunjuk kuasa, dua jam saya tunggu luar pejabatnya – Anifah
Anifah cerita pengalaman tunggu 2 jam nak jumpa Shafie
Bekas anggota parlimen Kimanis, Anifah Aman mendakwa Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal gagal membawa masuk pembangunan ke kawasan itu.
Beliau menceritakan pernah menunggu selama dua jam di pejabat Shafie ketika beliau menjadi menteri pembangunan luar bandar dan wilayah bagi memohon projek pembangunan untuk Kimanis.
“Saya membawa pemintaan rakyat Kimanis mohon RM50 juta untuk projek pembangunan termasuk lampu, air, jalan-jalan kampung…dia bagi saya tunggu, saya juga menteri, dua jam (tunggu) di pejabat dia.
“Saya mahu balik (meninggal pejabat Shafie)… saya fikir dia tidak akan bagi lagi masa untuk jumpa, ini untuk kepentingan rakyat Kimanis.
“Dua jam dia keluar…saya tahu dia bukan ada mesyuarat, tapi dia sengaja mahu tunjuk kuasa dia…Dia mahu saya tunggu di luar (pejabat).
“Saya kira mahu jelaskan, apa (projek pembangunan) yang di Kimanis, apa yang perlu di Membakut, apa yang perlu di Bongawan…dia ambil sampul surat itu dia masuk pejabat tarik pintu…sampai ke pilihan raya tidak ada apa-apa (projek),” katanya ketika ceramah perdana Dun Bongawan, Kimanis, malam tadi.
Hadir sama Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno dan Pengerusi BN Sabah Bung Mokhtar Radin.
Lebih 500 orang ramai hadir ke majis itu yang menampilkan buat kali pertama Anifah di pentas BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.
PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Pada PRU 2018 lalu, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.
Oleh itu kata Anifah, sekiranya pembangunan gagal dibawa masuk dengan sempurna di Kimanis ia berpunca daripada Shafie.
Jelasnya lagi, Shafie juga tidak pernah turun ke kawasan itu sebelum ini sehinggalah berlakunya PRK yang menyaksikan bekas naib presiden Umno itu kerap turun untuk berkempen.
Dalam pada itu, Anifah berkata niatnya membantu kempen calon BN tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menumbangkan Warisan.
Tambahnya lagi, meskipun telah meninggalkan Umno, BN dan bergerak sebagai wakil rakyat Bebas, tapi jiwanya tetap bersama Umno.
Anifah turut mendedahkan yang Zahid turut memintanya untuk kembali bertanding pada PRK kali ini, namun beliau menolaknya.
“Mengapa saya keluar Umno, bukan mau ikut parti lain, tetapi Bebas. Umno parti pertama saya anggotai, cinta pada Umno masih dalam jiwa.
“Saya keluar Umno kerana saya jaga hati rakan selaku presiden, saya takut ucapan-ucapan saya menuntut hak Sabah saya tak ikut tatacara parti, melanggar presiden parti.
“Saya hijrah bebas, jangan ada salah faham, lompat parti tidak ada niat saya…saya punya hubungan cukup baik dengan Zahid,” katanya menjelaskan sebab keluar Umno.
Mkini
You must be logged in to post a comment.