Indonesia, Malaysia risau Australia peroleh kapal selam nuklear

JAKARTA: Indonesia berkongsi kerisauan Malaysia terhadap keputusan Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear daripada Amerika Syarikat (AS).

Tindakan di bawah AUKUS, satu permuafakatan keselamatan membabitkan Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Britain itu dikhuatiri akan memberi kesan kepada negara serantau terutama di Asia Tenggara.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata beliau juga risau tindakan Australia itu mungkin mencetuskan persaingan kuasa di Asia Tenggara terutama dari segi persenjataan nuklear.



“Perkembangan ini tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, kami (Indonesia dan Malaysia) bersetuju usaha untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan mesti diteruskan di rantau ini.

“Tidak perlu dinamik ketika ini untuk mencetuskan ketegangan dalam perlumbaan senjata dan juga rangka kuasa serantau,” katanya selepas perjumpaan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, di Jakarta.

Di bawah perjanjian itu, Australia akan membina sekurang-kurangnya lapan kapal selam berkuasa nuklear menggunakan pakar dari AS, sekali gus membatalkan kontrak dengan Perancis bagi kapal selam yang menggunakan elektrik diesel.

Pakar berkata kapal selam nuklear akan membolehkan Australia menjalankan rondaan lebih jauh dan memberikan sekutunya penguasaan ketenteraan yang lebih kuat di rantau berkenaan.



Indonesia pada bulan lalu menyatakan kekhuatiran AUKUS boleh mendorong perlumbaan senjata serantau, ketika ketegangan makin meningkat di Laut China Timur dan Selatan.

Laluan perkapalan penting itu membawa komoditi berjumlah bertrilion dolar atau sekitar satu pertiga perdagangan dunia.

Filipina, sekutu pertahanan AS, menyokong pembentukan AUKUS sambil mengatakan ia menawarkan keseimbangan yang diperlukan terhadap China yang semakin kerap menceroboh perairan serantau.

Sementara itu, Menteri Luar Indonesia dan Malaysia turut menzahirkan kekecewaan berhubung kemelut di Myanmar dan rintangan dihadapi ASEAN dalam melaksanakan rancangan perdamaian yang dipersetujui.



Jumaat lalu, Asean memutuskan mahu mengecualikan ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, yang mendalangi rampasan kuasa 1 Februari lalu, daripada menyertai Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.

Namun, kata Retno, ASEAN akan terus menawarkan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.

Beliau turut memaklumkan Indonesia dan Malaysia sedang dalam perbincangan mengenai memulakan koridor perjalanan antara kedua-dua negara dan bersetuju menyelesaikan perbatasan maritim di selatan Melaka dan Laut Sulawesi. – AGENSI

Indonesia, Malaysia risau Australia peroleh kapal selam nuklear




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PRN Melaka: BN tidak bersendirian – Zahid



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker