Tan Sri Zaleha Ismail meninggal dunia

Bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Zaleha Ismail, 84, meninggal dunia di Hospital Tawakal, di sini, kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Berita itu dikongsi kenalan Allahyarhamah, Mohd Uzer Zainal Abidin yang dihubungi BH, sebentar tadi.

Difahamkan, Allahyarhamah yang pernah memegang pelbagai jawatan penting, termasuk Ketua Wanita UMNO dan Timbalan Ketua Bahagian Buku Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu meninggalkan tiga orang anak lelaki.

“Saya dimaklumkan oleh anak Allahyarhamah mengenai berita yang sangat mengejutkan ini,” katanya ketika dihubungi, malam ini.



Adik kepada Allahyarhamah, Zainah Ismail memaklumkan jenazah akan dibawa ke kediamannya di Jalan Berlian, Taman Perwira Satu, Batu 6, Gombak.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, yang turut berkongsi berita pemergian Tan Sri Zaleha di Facebooknya, sejam berkata, jasa Allahyarhamah sangat besar kepada perkembangan bahasa dan persuratan Melayu.

“Beliau pernah menjadi pegawai DBP selama 10 tahun dari 1968 hingga 1978, bermula sebagai pegawai ensiklopedia dan kemudian menjadi Timbalan Ketua Bahagian Buku Pelajaran.

“Beliau juga antara pengasas Koperasi Kakitangan DBP, bersama-sama dengan Zainal Abidin Zulkifly.



“Marilah kita berdoa semoga roh Allahyarhamah Tan Sri Zaleha Ismail, mantan Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat (1995-1999) yang pernah juga menjadi pegawai DBP dirahmati Allah SWT,” katanya. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker