PRN Melaka: BN atau PH lebih berpeluang?

Gabungan PH, BN dan PN mempunyai kelebihan masing-masing, manakala parti seperti Putra, Iman dan bebas dijangka berperanan PRN

Penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Melaka usai pada 8 Oktober 2021 yang menyaksikan 112 calon daripada 11 parti politik dan bebas akan bersaing mengadu untung nasib pada hari pembuangan undi 20 November 2021 nanti.

Seperti pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018, gelanggang PRN 2021 ini akan menyaksikan persaingan sengit sehingga garisan penamat, sekurang-kurangnya tiga gabungan besar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan memberi impak bermakna terhadap kempen dan keputusan nanti.

Setiap gabungan parti sama ada PH, BN dan PN mempunyai peluang dan kelebihan masing-masing, manakala parti-parti lain seperti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) serta bebas dijangka hanya berperanan untuk memeriahkan pesta.

Justeru, sejauh mana peluang parti-parti utama ini untuk mendominasi PRN Melaka? SH: PAKATAN HARAPAN PH adalah pemenang gelanggang 2018 sebelum kemenangan tersebut diragut di luar peti undi pada 2020 lantaran penjajaran semula politik tanah air.

Walau apa justifikasi sekalipun, kita perlu mengakui mereka adalah juara sebenar di Melaka dalam pertembungan sebelumnya.

Menuju hari penentuan pada 20 November nanti, adakah PH masih berpeluang? Berdasarkan situasi semasa, PH masih berpeluang, namun dalam masa sama juga berhadapan dengan ancaman yang akan meragut mahkota PRU14 tahun 2018 daripada mereka.

Ada beberapa elemen yang memberi kelebihan kepada PH seperti faktor geografi dan demografi pengundi, prestasi 22 bulan memerintah sebelumnya, serta populariti mantan Ketua Menteri mereka iaitu Adly Zahari yang juga Pengerusi PH Melaka.

Melaka berada dalam zon selatan. Dalam kajian-kajian kami sebelum ini pengundi di zon selatan lebih terbuka dalam corak pengundian iaitu tidak terlalu terikat kepada parti politik, mengutamakan isu dan prestasi calon dalam membuat keputusan, serta agak lunak untuk menerima PH.

Mereka mempamerkan tingkah laku politik yang berbeza berbanding zon timur dan utara, namun belum mencapai tahap progresif secukupnya seperti yang ditunjukkan oleh pengundi di zon tengah khususnya Selangor dan Kuala Lumpur.

Melaka juga mempunyai demografi pengundi bervariasi dalam konteks etnik yang menyaksikan pengundi Melayu hanya 60 peratus, selebihnya etnik Cina 30 peratus, India enam peratus dan etnik lain sekitar tiga peratus.

Demografi ini adalah kelebihan PH kerana pola pengundian berasakan etnik masih signifikan dalam konteks politik Malaysia, bahkan pemilih Cina dan India adalah faktor penting memberi kemenangan kepada PH dalam PRU14 lalu.

 

DR MOHD YUSRI
DR MOHD YUSRI

Selama 22 bulan memerintah Melaka, prestasi PH agak baik serta menjadi buah mulut rakyat Melaka, justeru elemen ini sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada mereka untuk mendekati pengundi dan memujuk diberi peluang sekali lagi dalam PRN kali ini.

Begitu juga dengan Adly, walaupun tidak sampai dua tahun sebagai Ketua Menteri, namun beliau berjaya memberi impak besar pada penerimaan rakyat di mana tinjauan di lapangan menunjukkan penerimaan rakyat terhadap beliau sangat baik.

Ini akan memberi modal besar kepada PH jika mereka berani menamakan Adly sebagai calon Ketua Menteri untuk mentadbir Melaka jika diberi kemenangan oleh pengundi pada 20 November ini.

Walaupun ada beberapa kelebihan, namun PH juga dibelenggu oleh beberapa ancaman dan ketidakpastian seperti tahap sokongan semasa pengundi etnik Cina, kesediaan keluar mengundi pemilih Cina serta cabaran mengekalkan peralihan (swing) pengundi Melayu yang diperolehi pada 2018.

Walaupun hampir sepenuhnya etnik Cina memberi undi kepada PH dalam PRU14, namun bermula pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada tahun 2019, etnik Cina mula menjauhi PH disebabkan beberapa isu ketidakpuasan hati dengan situasi tersebut terus terbawa ke PRK Slim selepas itu.

Selepas peristiwa Langkah Sheraton dan terbentuknya kerajaan PN yang dilihat sebagai dominasi Melayu-Muslim pada tahun lalu, etnik Cina dilihat mula mendekati PH semula, namun sokongan ini tidak sekuat dan sebulat menjelang PRU14.

Untuk menang PH perlu memungut semaksimum mungkin undi daripada etnik Cina khususnya untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu (semasa Bersatu dalam PH) sebelumnya.

Sekalipun etnik Cina kembali cenderung kepada PH, namun kebarangkalian kadar keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina nanti turut berpotensi meragut kemenangan yang mereka harapkan.

Begitu juga undi etnik Melayu yang ‘swing’ dalam PRU14 lalu, undi tersebut turut bertindak sebagai faktor kemenangan PH di Melaka apabila berjaya memungut sehingga 29 peratus undi Melayu.

Banyak faktor yang mempengaruhi ‘swing’ undi Melayu pada 2018 seperti isu pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), 1MDB dan keyakinan terhadap elemen Melayu dalam PH apabila diketuai oleh bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sekarang semua elemen tersebut sudah tiada, jika undi ‘swing’ tersebut kembali kepada UMNO/BN walau hanya sekitar 10 peratus, sudah memberi kesan besar kepada peluang PH untuk mengulangi magis 2018.

Mohamad (tengah) bersama calon BN DUN Lendu, Sulaiman (kanan) dan Mohd Khaled menunjukkan Manifesto BN bagi PRN Melaka 2021 dalam sidang media pada Rabu.
Mohamad (tengah) bersama calon BN DUN Lendu, Sulaiman (kanan) dan Mohd Khaled menunjukkan Manifesto BN bagi PRN Melaka 2021 dalam sidang media pada Rabu.

 

BARISAN NASIONAL

BN yang diketuai oleh UMNO juga mempunyai peluang untuk keluar sebagai pemenang pada 20 November nanti.

Kelebihan terbesar UMNO adalah pengundi teras akar umbi yang kuat, paling ampuh berbanding parti-parti lain yang bertanding dalam PRN kali ini.

Struktur pengundi mengikut DUN juga memberi kelebihan kepada UMNO apabila pengundi Melayu yang hanya membentuk 60 peratus komposis pengundi keseluruhan tetapi bilangan DUN yang dikuasai majoriti Melayu melebihi 60 peratus.

Inilah yang memberi gambaran keputusan PRU14, walaupun BN hanya mengumpul 38 peratus undi popular berbanding 51 peratus PH, namun BN hanya kalah tipis berbeza dua kerusi apabila memperolehi 13 berbanding 15 DUN oleh PH.

Sekali lagi situasi ini akan memberi kelebihan kepada BN dalam PRN ini, jika mereka berjaya mengembalikan sebahagian undi ‘swing’ Melayu yang hilang dalam PRU14 lepas, mereka berpotensi untuk mendominasi kembali kawasan-kawasan bercampur dengan majoriti pengundi Melayu, khususnya lima kerusi yang hilang pada tahun 2018 dulu.

Jika undi atau kerusi ‘swing’ itu kembali kepada BN pada kadar mencukupi, koalisi itu berpotensi mengungguli persaingan dengan hanya bergantung kepada kerusi yang ditandingi UMNO, tanpa perlu terlalu mengharap kemenangan oleh MCA dan MIC.

Namun sedikit merencatkan kempen BN apabila mereka tidak memiliki tokoh berkaliber untuk dinamakan sebagai Ketua Menteri, sama ada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali atau Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di mana kedua-duanya tidak mempunyai aura mencukupi untuk dijadikan modal besar oleh BN.

Begitu juga prestasi memimpin kerajaan sekitar 19 bulan sebelum ini juga tidak banyak membantu dengan polisi dan prestasi kerajaan pimpinan UMNO sepanjang tempoh tersebut tidak meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat Melaka.

Walaupun kerajaan yang diketuai oleh Sulaiman tersebut adalah kerajaan campuran PN, tetapi rakyat menilai prestasi kerajaan tersebut sebagai kerajaan BN kerana diketuai oleh UMNO dan majoriti anggotanya terdiri daripada BN.

 

Petugas PN memasang bendera menjelang Hari Penamaan Calon bagi PRN Melaka esok ketika tinjauan di sekitar Dewan Undangan Lendu pada Isnin.
Petugas PN memasang bendera menjelang Hari Penamaan Calon bagi PRN Melaka esok ketika tinjauan di sekitar Dewan Undangan Lendu pada Isnin.

PERIKATAN NASIONAL

Seperti catatan saya sebelum ini, PN bertuah apabila Pas bersetuju untuk bertanding menggunakan lambang gabungan tersebut.

Walaupun Pas tidak kuat dan hanya mengumpul sekitar 10 peratus undi dalam PRU14 lalu, namun siri-siri PRK selepas PRU itu menyaksikan Pas mengekalkan bilangan undinya untuk membantu Umno memenangi siri-siri PRK tersebut.

Menjelang pembuangan undi 20 haribulan nanti, PN boleh berharap terhadap undi deposit daripada Pas tersebut untuk mengisi kotak undi sebelum meneruskan lagi kempen bagi mencari sebanyak mungkin tambahan daripada segmen lain.

Keputusan pemilihan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat dalam muktamar parti itu hujung minggu lalu yang menyaksikan kemenangan majoriti pimpinan pro PN juga bakal menambahkan lagi tonik kempen PN di Melaka.

Selain itu, PN juga masih boleh berharap kepada populariti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertungkus lumus turun berkempen.

Sepanjang mentadbir kerajaan pasca Langkah Sheraton, populariti Muhyiddin sebagai PM agak tinggi walaupun penerimaan terhadap parti Bersatu itu sendiri agak lemah.

PN boleh menggunakan sosok ini untuk cuba mengutip sebanyak mungkin undi daripada pelbagai segmen yang wujud dengan memberi saingan bermakna untuk membuat kejutan, atau sekurang-kurangnya mengumpul cukup undi sebagai semangat untuk menuju PRU15 nanti.

Sehingga kini jentera kempen PN agak ghairah, ini sedikit sebanyak akan memberi momentum kepada mereka untuk menyaingi BN dan PH.

Kelemahan PN adalah tidak memiliki akar umbi yang kuat, mereka tidak mempunyai undi teras yang boleh diharapkan untuk mengungguli persaingan.

Antara ketiga-tiga parti komponen PN, hanya Pas yang ada sedikit akar umbi di Melaka, manakala sokongan terhadap Bersatu dan Gerakan masih kabur.

Dua kerusi yang dimenangi dalam PRU14 oleh Bersatu adalah sokongan pengundi terhadap semangat PH, tidak boleh dikira sebagai kekuatan Bersatu secara individu.

Begitu juga wakil rakyat Bersatu yang ada sekarang, semuanya adalah yang melompat ke parti tersebut daripada parti lain, bukan kemenangan atas tiket Bersatu.

Satu lagi kekurangan PN adalah kemampuan Gerakan untuk menyaingi DAP dan MCA di kawasan etnik Cina, sehingga kini belum ada sebarang indikator yang menunjukkan sokongan kepada Gerakan telah pulih.

Jika Gerakan gagal menyaingi DAP dan MCA di kerusi pengundi Cina, PN memulakan kempen Melaka ini dengan ketinggalan awal sebanyak lima kerusi.

 

Peluang PH untuk mengembalikan magis pada PRU14 agak berliku susulan terdapat kemungkinan peratusan pengundi bukan Melayu, terutama etnik Cina untuk keluar mengundi tidak seramai dahulu.
Peluang PH untuk mengembalikan magis pada PRU14 agak berliku susulan terdapat kemungkinan peratusan pengundi bukan Melayu, terutama etnik Cina untuk keluar mengundi tidak seramai dahulu.

KERUSI DUN MARGINAL JADI PENENTU

Di atas kertas, PRN Melaka akan menyaksikan pertembungan sengit antara BN dan PH, namun PN masih berpeluang untuk membuat sedikit kejutan jika kena dengan strategi pemujukan terhadap pengundi.

Kerusi-kerusi marginal seperti Lendu, Taboh Naning, Gadek, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Klebang, Rim dan Merlimau akan jadi penentu siapa yang akan mendominasi takhta 20 November nanti.

Semua kerusi tersebut dimenangi dalam PRU14 dengan majoriti kurang 1000 undi.

Justeru, sedikit swing pengundi sahaja sudah pasti akan merubah keputusan sekali gus bakal menjadi rebutan hangat antara parti-parti yang bertanding.

Paling penting, kerusi-kerusi marginal ini berpotensi menentukan siapa yang akan keluar sebagai pemenang PRN Melaka.

* Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim ialah Pensyarah Komunikasi Politik, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Ketua Penyelidikan Ilham Centre.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


“Kita Adalah UMNO, UMNO Adalah Kita. UMNO Adalah Maruah, Masa Depan Kita Bersama” – Ahmad Zahid

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker