Amerika, Kanada haramkan TikTok pada peralatan milik kerajaan

Amerika, Kanada haramkan TikTok pada peralatan milik kerajaan

Amerika Syarikat (AS) dan Kanada hari ini mengharamkan penggunaan aplikasi TikTok pada semua peranti, peralatan dan perkakasan milik kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Rumah Putih memberi tempoh 30 hari kepada semua agensi kerajaan AS bagi memastikan tiada lagi aplikasi itu pada gajet rasmi milik kerajaan.



Pengarah Pejabat Pengurusan dan Belanjawan AS, Shalanda Young, memberitahu agensi dalam memorandum yang turut dilihat Reuters, bahawa mereka dikehendaki melakukan pelarasan kontrak teknologi maklumat bagi menghentikan akses TikTok.

“Ini bagi memastikan vendor bertanggungjawab terhadap keselamatan data AS dengan menghapuskan penggunaan TikTok pada peranti dan sistem mereka, sekali gus mengelakkan kebocoran maklumat.

TikTok sebelum ini berkata, kebimbangan itu tercetus disebabkan maklumat yang salah dan mereka tidak dirujuk berhubung isu berkenaan.

Tindakan itu tidak menjejaskan lebih 100 juta rakyat AS yang menggunakan TikTok pada peranti persendirian atau milik syarikat, sebaliknya hanya terhad kepada peranti, perkakasan dan peralatan digunakan kerajaan Persekutuan.



Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Persekutuan, Chris DeRusha, berkata ‘panduan itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan pihak pentadbiran untuk melindungi infrastruktur digital, keselamatan dan kerahsiaan peribadi rakyat’.

Agensi kerajaan termasuk Rumah Putih, Jabatan Pertahanan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Negara sudah pun melarang penggunaan TikTok daripada peranti kerajaan lebih awal sebelum ini.

Berdasarkan memo yang dikeluarkan, dalam tempoh 90 hari, agensi kerajaan mesti menyekat penggunaan TikTok oleh vendor IT melalui kontrak dan dalam masa 120 hari, ia akan memasukkan larangan baharu TikTok bagi semua permintaan baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, Kanada turut mengumumkan tindakan sama hari ini atas dasar keselamatan negara selain mengelakkan kebocoran maklumat dan pengintipan.



Katanya, tindakan itu diambil memandangkan ia berupaya mengundang tahap risiko yang ‘tidak boleh diterima’ terhadap kerahsiaan peribadi dan keselamatan, ditambah dengan jurang keretakan hubungan kedua-dua negara yang semakin melebar.

Perdana Menterinya, Justin Trudeau, memberitahu pemberita, kerajaan sedang melihat secara teliti kaedah memastikan keselamatan warga Kanada yang menggunakan aplikasi dalam talian.

Menurut kenyataan Lembaga Perbendaharaan Kanada yang mengawasi pentadbiran awam, larangan itu berkuat kuasa mulai hari ini dan pekerja Persekutuan turut disekat daripada memuat turun aplikasi itu pada masa depan.

Suruhanjaya Eropah mengenakan larangan sama minggu lalu, manakala Senat AS pada Disember tahun lalu meluluskan rang undang-undang untuk menghalang pekerja Persekutuan daripada menggunakan aplikasi itu pada peranti milik kerajaan.



Untuk rekod, India turut mengharamkan TikTok pada 2020. BH

Amerika, Kanada haramkan TikTok pada peralatan milik kerajaan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Pukulan KO Jojo tumbangkan lawan hanya dalam 16 saat

Ini kata Erra tentang krisis rumah tangga bekas suaminya



Hafidz Roshdi dituduh mental dan psiko, masih berminat komen IG bekas isteri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker