KKM sah 3 kes positif koronavirus

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan 3 kes positif novel koronavirus (2019 nCOV).

Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata, 3 kes tersebut merupakan keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura yang melibatkan seorang lelaki berusia 66 tahun dari Wuhan, China.

“Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kesemua mereka diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang dikesan positif virus tersebut, ialah isteri (65 tahun) dan 2 cucu (11 dan 2 tahun) kepada lelaki kes pertama di Singapura.

Media dimaklumkam, ibu kepada kanak-kanak tersebut negatif koronavirus dan berada di Malaysia untuk menjaga ahli keluarga warga China berkenaan.

Mereka kini diisolasi di Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kesemua mereka dilaporkan menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Jan dan memasuki Johor pada 23 Jan lepas.

Kata Dzulkefly, KKM menjalankan ujian saringan segera selepas menerima maklumat mengenai keputusan ujian positif untuk kes pertama dari Singapura yang turut mengenal pasti terdapat kenalan rapatnya di Malaysia.

“Melalui perkongsian maklumat tersebut pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor bertindak segera dengan mengesan kesemua 8 orang kontak terbabit dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

“Saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan selanjutnya pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.”

Dalam pada itu, Dzulkefly menyarankan mana-mana rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat megara China supaya menangguhkan hasrat tersebut susulan penularan wabak berkenaan yang dilihat semakin serius.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai peralatan perlindungan diri dan mengelakkan diri daripada menyentuh haiwan secara sebarangan.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker