Kutty bukan nama saya – Mahathir

Kutty bukan nama saya – Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberikan keterangan dalam kes saman fitnahnya terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pagi ini, menegaskan beliau adalah seorang Melayu beragama Islam sejak lahir.

Dr Mahathir yang mengakui kali pertama memberikan keterangan di mahkamah sebagai plaintif, berkata kenyataan Ahmad Zahid kononnya nama asal beliau adalah Mahathir anak lelaki (a/l) Iskandar Kutty adalah tidak benar sama sekali.

“Itu bukan nama saya, ” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu yang menjawab soalan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali pada pemeriksaan pertama berkata, ia adalah jelas berdasarkan kad pengenalan dan bukti sijil kelahiran lama dan barunya.

Katanya, nama itu tidak pernah ditulis di mana-mana sehingga Ahmad Zahid membuat kenyataan kononnya beliau mempunyai kad pengenalan dengan nama Mahathir a/l Iskandar Kutty.

“Saya sedar (kenyataan Ahmad Zahid) itu berbohong, tiada satu pun IC (kad pengenalan) guna nama itu. Sejak saya dilahirkan hingga masuk universiti dan sehingga menjadi doktor, tidak pernah orang sebut nama saya Mahathir a/l Iskandar Kutty.

“Ini satu pembohongan oleh Ahmad Zahid. Bapa saya bernama Mohamad bin Iskandar dan ibu saya adalah Wan Tempawan Wan Hanapi.

“Bapa saya berasal dari Pulau Pinang, dan seorang Melayu, di mana nenek moyang saya mempunyai darah yang berketurunan dari negeri selatan India, iaitu Kerala. Ibu saya pula berasal dari Kedah dan masing-masing berketurunan Melayu sejati,” katanya.

Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir, 99 selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, yang juga Presiden UMNO sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dr Mahathir berkata, beliau percaya dengan sesungguhnya bahawa individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoalkan dan diragui.

Katanya, ia juga difahamkan beliau adalah pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika semasa memegang jawatan awam serta tidak layak untuk menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong sedang berlangsung. BH

Kutty bukan nama saya – Mahathir

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Cerita ‘gajah Azal berdiri’ waktu pagi, Zarina Zainuddin dikecam netizen

Mula suka, akhir merana

Bekas pembantu korup petik nama Najib

Kes bunuh menjadi-jadi, ini kata Shuhaily

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker