Pengintipan ke atas rakyat, selamatkah kita semua?
Intip
Mendedahkan rahsia adalah amalan jahat dan dosa besar. Privasi adalah hak setiap orang. Ia bermula daripada usaha mengintip, mengintip dan seterusnya menyebarkannya.
Ia seawalnya adalah kerja kumpulan iblis dan syaitan di langit. Mereka berterbangan di langit dalam usaha mencuri-curi berita-berita berkaitan urusan langit dan bumi yang ditentukan oleh Allah. Jika mereka dapat, mereka akan segera menyebarkan maklumat tersebut kepada para wali mereka daripada kalangan manusia iaitu para bomoh, tukang sihir, tukang tilik dan seumpamanya.
Untuk mencapai tujuan buruk mereka, mereka akan mencampur adukkan di antara kebenaran dan kepalsuan, seterusnya menyebarkan benih-benih perpecahan di kalangan manusia apabila mempercayai khabar-khabar daripada para wali syaitan tersebut.
Justeru agama Islam mengharamkan umatnya pergi dan mempercayai bomoh, tukang tilik, apatah lagi tukang sihir. Semua itu langkah-langkah syaitan untuk memecahkan dan menyesatkan anak Adam.
Kesalahan dan dosa mengintip dan mendedahkan rahsia individu akan ditanggung oleh individu tersebut. Ia bergantung kepada sebesar mana kesan buruk dan kerugian yang ditanggung oleh mangsa tersebut.
Justeru setiap muslim mestilah menjauhinya dan bertaubat jika pernah terlibat dengan aktiviti tersebut. Takutilah bahawa kelak Allah akan mendedahkan rahsianya pula.
Dalam perang, termasuk perang politik, intipan adalah dibenarkan. Rasulullah صلي الله عليه وسلم sering menggunakan kaedah intipan terhadap musuh untuk mengetahui rahsia dan kekuatan mereka.
Walau bagaimanapun, di dalam pemerintahan negara, intipan ke atas rakyat oleh pihak pemerintah menggunakan jentera dan peralatan moden kerajaan adalah dibenarkan selama mana demi menjaga maslahat rakyat keseluruhannya. Ia termasuk mengintip pergerakan kartel dadah, kongsi gelap apatah lagi tali barut yang membantu musuh negara dari luar.
Adapun mengintip menggunakan jentera kerajaan demi kepentingan peribadi atau kepentingan parti masing-masing demi laba persaingan politik, maka ia adalah salah guna kuasa yang terlarang oleh ugama.
Setiap mukmin terikat dengan syarat dan janji dalam segala urusan muamalahnya sesama mereka. Pemerintahan adalah amanah. Menyalah gunakan jentera kerajaan demi membunuh parti dan saingan politik lain adalah khianat, salah dan dosa.
Ia juga membantutkan usaha memulihkan demokrasi dan integriti yang sedang dituntut oleh seluruh rakyat.
Saya tidak tahu, jika benarlah intipan audio perbualan Zahid-Anwar itu, siapakah dalang intipan tersebut. Jika dia individu, dia menanggung dosa.
Jika ia daripada jentera kerajaan, ia adalah amat salah. Bukan itu tujuan kekuatan intipan negara. Ia tidak bertujuan sewenang-wenangnya demi kepentingan individu dan parti.
Saya harap ia bukan daripada pihak kerajaan. Jika sebaliknya, saya berdoa dan berharap ia bukan daripada komplot PAS. PAS terhalang oleh hukum agama yang diimaninya daripada menggunakan perkara haram demi sampai pada matlamat perjuangan sucinya.
Seruan saya, sihatkan politik negara demi kesejahteraan bersama.
Selamat menyambut bulan Ramadan al mubarak.
Nik Abduh Nik Aziz