Kembar Hojgaard cipta sejarah di Augusta
Kembar Hojgaard cipta sejarah di Augusta

Augusta: Peminat golf bakal menyaksikan sesuatu yang luar biasa minggu ini apabila pemain dari Denmark, Nicolai dan Rasmus Hojgaard bakal mencipta sejarah sebagai pasangan kembar pertama beraksi dalam kejohanan Masters di Augusta National Golf Club.
Apa yang membezakan mereka? Hanya gaya rambut.
Rasmus tampil dengan rambut panjang manakala Nicolai memilih potongan pendek.
Selebihnya, hampir sukar untuk membezakan mereka, apatah lagi apabila kedua-duanya muncul pada sidang media pra kejohanan lalu dengan pakaian serba sama.
“Ia memang kebetulan. Ras keluar rumah lebih awal pagi tadi. Bila saya tiba, dia sudah duduk dengan seluar bewarna krim dan baju sejuk hijau,” kata Nicolai sambil ketawa.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
“Kami fikir, tak mengapa pun. Nampak elok juga kalau hadir ke sidang media dengan pakaian sama. Jadi kami biarkan saja.”
Walaupun tidak berniat untuk mengelirukan sesiapa, Nicolai dan Rasmus mengaku mereka memang terkenal dengan perangai nakal sejak kecil.
“Dulu masa di sekolah, kami pernah tukar kelas. Satu kelas tahu yang kami tukar, tapi cikgu tak perasan. Kami duduk sejam dalam kelas, semua pelajar tahan gelak. Akhirnya cikgu sedar dan semua orang ketawa,” kata Rasmus, tersenyum mengenang memori itu.
Rasmus yang menewaskan Rory McIlroy dengan satu pukulan untuk memenangi Terbuka Ireland tahun lalu, melayakkan diri ke Masters selepas berada dalam kelompok 50 terbaik dunia pada penghujung 2024.
Ini penampilan sulungnya di Augusta.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
Nicolai pula mencuri perhatian pada penampilan sulung Masters tahun lalu apabila menduduki kelompok enam terbaik dalam tiga pusingan pertama dan sempat mendahului saingan pada hari Sabtu sebelum menamatkan kejohanan di tempat ke-16.
Dia kembali tahun ini menerusi jemputan khas.
Meskipun ini kali pertama pasangan kembar beraksi di Masters, mereka sudah beberapa kali bersaing dalam kejohanan utama – termasuk Terbuka British dan Kejohanan PGA pada 2023 dan 2024.
Walaupun bersaing sesama sendiri, hubungan mereka tetap erat dan saling menyokong.
Namun apabila ditanya bagaimana perasaan jika melihat saudara kembar sendiri menyarung jaket hijau – simbol juara Masters – jawapan Rasmus cukup bersahaja.
“Mungkin rasa geram juga,” katanya sambil bergurau.
“Tapi saya rasa ia pasti sesuatu yang hebat. Kalau itu terjadi, kami akan hadapi waktu itu nanti. Sukar nak gambarkan sekarang sebab itu sesuatu yang belum pernah kami rasa.”
“Setuju,” balas Nicolai ringkas.
Untuk dua pusingan pembukaan, Rasmus akan bermain bersama Patrick Cantlay dan Matt Fitzpatrick manakala Nicolai akan bersaing dengan Kevin Yu dan Jhonattan Vegas.
Kembar Hojgaard cipta sejarah di Augusta
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Tragedi Letupan Putra Heights: KUSEL Dan MBSJ Di Serbu Audit
You must be logged in to post a comment.