Dr Maza saman pengguna Facebook, Kayrollz Nasri berhubung isu GISBH

Oleh – Syeikh Baran

Dr Maza saman pengguna Facebook, Kayrollz Nasri berhubung isu GISBH

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memfailkan saman terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook kerana mendakwa lelaki itu memfitnahnya berhubung isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Saman fitnah itu difailkan Mohd Asri selaku plaintif pada 10 Oktober lalu dengan menamakan Mohd Nawawi Abd Razak sebagai defendan, dan menuntutnya membayar ganti rugi teladan dan teruk berjumlah RM10 juta serta menerbitkan pernyataan maaf di dalam akhbar tempatan.

Melalui pernyataan tuntutan beliau, Mohd Asri berkata, pada 20 September lalu, Mohd Nawawi menerbitkan beberapa pernyataan fitnah melalui akaun Facebook milik defendan yang dibuat secara komen di bawah satu hantaran Facebook oleh akaun Facebook dikenali sebagai Kayrollz Nasri.

Komen berkenaan adalah berhubung isu fatwa kesesatan GISBH oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Mohd Asri berkata, pernyataan fitnah itu merujuk dengan jelas kepadanya dan berkaitan dirinya yang bermaksud serta difahami bahawa beliau antaranya mempunyai hubungan akrab dengan GISBH dan menerima ganjaran wang daripada organisasi itu.

Mohd Asri berkata, pernyataan itu juga bermaksud beliau pernah mempunyai hubungan rapat dengan GISBH, seorang pengkhianat dan fatwa Perlis berkaitan isu GISBH dibuat atas motif peribadi dan dendam peribadinya.

Plaintif berkata, defendan selanjutnya menerbitkan, menyiarkan, mendedahkan dan mengedarkan pernyataan fitnah kedua terhadapnya di dalam bentuk komen di bawah hantaran sama.

“Defendan menerbitkan pernyataan fitnah itu meskipun mempunyai pengetahuan bahawa ia adalah dusta, palsu, tidak berasas, tidak benar sama sekali dan ia dakwaan melulu tanpa mengambil kira kebenarannya dan tanpa usul periksa.

“Ia diterbitkan dengan niat untuk menghina, merendahkan, memalukan dan mendedahkan saya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan yang membuat orang ramai menjauhi saya.

“Defendan menerbitkan pernyataan fitnah itu dengan niat untuk menimbulkan persepsi negatif oleh masyarakat umum ke atas saya. Defendan dengan sengaja merujuk secara khusus kepada saya dengan menggunakan nama dan gambar saya,” katanya.

Mohd Asri berkata, tindakan defendan mengaitkan dirinya secara khusus kepada GISBH yang diketahui umum mempunyai kepercayaan dan ajaran yang mengandungi unsur sesat khususnya batiniyyah dan tidak selari dengan Islam, adalah disengajakan.

Katanya, ia adalah untuk memberi gambaran dan pandangan kepada orang awam bahawa beliau menyokong dan terbabit dengan aktiviti dan pemahaman yang yang mengandungi unsur sesat.

Mohd Asri juga menuntut defendan membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di beberapa akhbar tempatan termasuk Utusan Malaysia, akaun Facebook defendan sendiri dan mana-mana laman sosial yang dimiliki lelaki itu, selama 30 hari.

Turut dimohon ialah perintah injunksi bagi menghalang defendan dan mana-mana ejennya daripada mengulangi pernyataan berbaur fitnah itu serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker