Pengawal keselamatan didenda RM1,500 belasah adik guna penyapu
Oleh – Syeikh Baran
Perbuatan seorang pengawal keselamatan memukul adik perempuannya sehingga cedera menggunakan penyapu memakan diri selepas didenda RM1, 500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, M. Krishnan, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Krishnan didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada adik perempuannya berusia 21 tahun di rumah flat di Bandar Bukit Raja di sini pada pukul 4.50 petang, 5 Mei lalu.
Peguam Mark Jeyakumar dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya merupakan anak sulung dengan pendapatan RM1,500 dan menyara ibu serta adiknya.
Tambahnya, anak guamnya juga insaf dan berjanji tidak mengulanginya lagi.
“Tujuan tertuduh memukul adiknya dengan penyapu adalah disebabkan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anak guam ketika berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh dan ibunya.
“Tertuduh berasa amat bersalah dan difahamkan adiknya telah berpindah ke rumah lain. Jadi, mohon denda yang minima,” jelasnya.
Timbalan Pendakwa Raya NurulJannah Aimi memohon agar mahkamah mengenakan hukuman deterrent (pencegahan) dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.