Parlimen Malaysia terawal di dunia guna tenaga solar
Oleh – Syeikh Baran
Parlimen Malaysia antara terawal di dunia menggunakan tenaga solar dalam operasinya, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata, inisiatif menggunakan tenaga solar itu sudah pun dilaksanakan awal bulan ini.
“Saya juga nak umumkan bahawa mulai 1 Oktober lalu, Parlimen ini sendiri, (sumber) tenaga digunakan adalah tenaga solar.
“Jadi kita antara Parlimen terawal di dunia, yang menggunakan sistem solar. Terima kasih kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Kementerian Kewangan atas inisiatif ini,” katanya ketika mencelah sesi jawab lisan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Terdahulu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjawab soalan lisan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang mahu mengetahui perancangan kementerian untuk program pendidikan dan kesedaran yang dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan peralihan tenaga.
Sumber – BERITA HARIAN