Chef Wan kekal bayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantu

Oleh – Syeikh Baran

Chef Wan kekal bayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantu

Chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan kekal diperintah membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya, Gavin Edward O’Luanaigh berhubung penerbitan berunsur fitnah terhadap lelaki itu di platform media sosial.



Perkara tersebut ditentukan selepas Chef Wan menarik balik permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli membatalkan permohonan itu dan memerintahkan selebriti berkenaan membayar kos RM5,000.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada prosiding itu, peguam Nur Adilah Nabilah Abdull Jamal mewakili Chef Wan (pemohon) manakala bekas menantunya diwakili Nur Khidmah Huzaisham.

Beliau memfailkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya berhubung penerbitan berunsur fitnah di platform media sosial.



Pada 26 Jun lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Wong Kian Kheong membenarkan rayuan Gavin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang berpendirian kenyataan Chef Wan tidak memfitnah beliau.

Panel berkenaan ketika itu memerintahkan Chef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada bekas menantunya dan kos RM40,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah turut memberikan injunksi kekal yang melarang Chef Wan daripada menerbitkan kenyataan yang memfitnah bekas menantunya.

Panel itu juga memerintahkan Chef Wan membayar faedah lima peratus setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh.



Mahkamah Rayuan berpendapat, Chef Wan melanggar janji kepada mahkamah untuk tidak menyiarkan kenyataan fitnah terhadap bekas menantunya.

Gavin yang merupakan seorang warganegara British memeluk Islam pada 20 November 2006 dan menggunakan nama Salahudin Ghafffar. Beliau berkahwin dengan anak Chef Wan, pelakon Serina Redzuawan pada 2010 sebelum bercerai pada Ogos 2017.

Dia memfailkan saman itu pada Februari 2021 dengan mendakwa bahawa lapan hantaran media sosial oleh bekas bapa mentuanya mengenai beliau dan isterinya kini, memfitnah mereka.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker