Sumbat 20 PATI Myanmar dalam Proton Exora

Oleh – Syeikh Baran

Sumbat 20 PATI Myanmar dalam Proton Exora

Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki merempuh kenderaan polis ketika cuba meloloskan diri di Kampung Pohon Tanjung, Wakaf Bharu di sini semalam.



Kejadian pada pukul 8.47 malam itu berlaku sewaktu anggota Unit Peronda Polis (MPV) menjalankan rondaan di Jalan Bendang Morak di sini sebelum melihat MPV jenis Proton Exora dalam keadaan mencurigakan menghala ke arah Kampung Kepulau.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, anggota polis cuba menahan MPV itu dengan membuka lampu mata arah (beacon light) dan siren, namun kenderaan itu memecut secara berbahaya.

Menurutnya, MPV itu turut melanggar lampu isyarat merah di Wakaf Bharu sebelum anggota polis mengejar sehingga ke Jalan Pasir Pekan.

“Pemandu MPV bertindak agresif apabila merempuh bahagian kanan MPV pasukan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan ketika memasuki susur jalan ke Kampung Pohon Tanjung Wakaf.

“Pemandu dan penumpang MPV itu melompat keluar sebelum meloloskan diri ke kawasan semak. Salah seorang suspek bagaimanapun dapat ditahan manakala seorang lagi lolos ke kawasan gelap,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Mohd. Khairi memberitahu, pemeriksaan di dalam MPV itu menemui 20 lelaki warga Myanmar.

Pemeriksaan mendapati, suspek yang merupakan orang tempatan dipercayai menyediakan perkhidmatan pengangkutan PATI.

“Kesemua PATI yang diberkas tidak mempunyai dokumen yang sah untuk masuk ke negara ini,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker