‘Dapat hadiah motosikal, tak perlu berjalan 6km ke sekolah’
Oleh – Syeikh Baran
Kisah seorang bapa yang sanggup menemani anaknya berjalan sejauh 6 kilometer (km) ke sekolah mendapat perhatian apabila lelaki tersebut menerima hadiah sebuah motosikal daripada usahawan dan pempengaruh, Hafiz Mahamad.
Menerusi video dimuat naik Hafiz di media sosial, dia ke Kelantan menemui keluarga tersebut semalam, selepas kisah mereka tular dikongsikan seorang pempengaruh dan juga aktivis dikenali sebagai Abbe Hae.
Pada video tersebut, Hafiz dilihat membawa bapa serta anak-anaknya itu membeli sebuah motosikal, barangan keperluan rumah selain sempat menyinggah di kedai gunting rambut.
“Masya-Allah hebat ilmu yang saya dapat daripada kisah ni. Bila sampai ke kampung ni, saya tengok jarak rumah ke sekolah, dalam hati, ‘ya Allah jauh sangat ni kalau budak dan ayah teman berjalan ke sekolah’.
“Saya nampak di depan mata macam mana dia melayani anak-anak. Naik segan mata saya melihat macam mana perhatian diberi daripada pak cik ni,” katanya pada hantaran itu hari ini.
Hafiz berkata, sewaktu di kedai motosikal untuk menghadiahkan kenderaan kepada bapa tersebut, lelaki itu meminta anak-anaknya memilih warna yang disukai.
“Bila di pasar raya pula, banyak kali saya cakap, pak cik ambil lah baju untuk pak cik. Apa yang dicapai dulu oleh pak cik ni adalah susu anak dan barang sekolah anak-anak sambil pimpin anak-anaknya.
“Bila sampai di rak makanan, dia teman anak-anak ambil makanan yang anak dia nak. Bila selesai semua perkara, anak dia datang dan cakap, ‘abe terima kasih bantu keluarga’. Saya kata pada dia, ‘dulu dan selama ni, orang susah yang bantu, doa dan ‘support’ bisnes abe’,” ujarnya.
“Saya tak sabar nak melihat 20 hingga 30 tahun akan datang, anak-anak ini akan melihat kenangan ini. Belajar dan carilah ilmu. Bila berjaya nanti, tarik dan didik anak-anak kami di esok hari.
“Terima Kasih Abbe Hae, imam Kampung Abal, Jep, guru-guru dan semua yang terlibat untuk membantu keluarga ni, mahupun keluarga yang lain. Kejayaan demi kebahagiaan,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, seorang murid cekal menuntut ilmu walaupun perlu menempuh perjalanan sejauh 6 km dengan hanya berjalan sambil ditemani bapanya pada setiap hari.
Kisah murid tahun enam yang dikenali sebagai Izara itu diceritakan seorang pempengaruh dan juga aktivis, Abbe Hae di akaun Facebook.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.