4 termasuk Inspektor ditukar negeri kes parti dalam IPD

Oleh – Syeikh Baran

4 termasuk Inspektor ditukar negeri kes parti dalam IPD

Tiga anggota dan seorang pegawai kanan polis ditukarkan serta merta ke kontinjen lain susulan kes parti di pejabat cawangan Jabatan Siasatan Jenayah di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.



Kejadian parti tersebut dikatakan berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi pada 28 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati seorang koperal telah membawa masuk empat termasuk seorang lelaki awam ke pejabat cawangan JSJ tersebut.

Katanya, ini jelas bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan mana-mana orang awam dibawa ke premis pejabat tanpa urusan rasmi.

“Dalam insiden tersebut yang disebut kononnya parti itu termasuk mendengar muzik dan ada makanan sikit.



“Jadi, itu tindakan dalaman dan tukar anggota berpangkat koperal ini keluar dari (kontinjen polis) Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau menegaskan, tiga lagi penyelianya yang berpangkat Sarjan, Sarjan Mejar dan Inspektor turut ditukarkan dari Kontinjen Polis Selangor.

Hussein menjelaskan tindakan dilakukan mengikut Peraturan 3C Pegawai Awam (Tata Kelakuan dan Disiplin) 1993.

“Semua ditukarkan dari JSJ dan ada yang pergi (dipindahkan) ke Johor dan Kelantan serta-merta,” katanya.



Dalam pada itu, beliau menegaskan tangkapan tiga anggota polis dari IPD Kajang yang positif dadah adalah berpangkat rendah dan bukannya Ketua Balai.

“Ketiga-tiga anggota ini juga ditukar ke bahagian pengurusan serta-merta dan akan diambil tuduhan dibawah jenayah dan tatatertib,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker