[VIDEO] Wanita mengamuk di wisma transit mohon maaf, menyesal
Oleh – Syeikh Baran
Wanita Palestin yang melakukan kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL), baru-baru ini tampil memohon maaf dan mengakui turut menyesal dengan tindakannya.
Aminah Muhammad Nafi Jamal Abd Rabah berkata, perkara itu berlaku disebabkan rasa tertekan kerana sudah seminggu tidak dapat berhubung dengan anaknya yang masih berada di Gaza.
“Saya minta maaf dan sangat menyesal dengan apa yang saya lakukan. Saya bersumpah kepada Tuhan, saya tidak buat dengan sengaja, kami sedang lalui situasi dan keadaan yang sangat sulit yang hanya Allah SWT sahaja tahu.
“Serius kamu (rakyat Malaysia) adalah orang baik, murah hati dan menghormati orang dan saya berterima kasih kerana menerima dan melayan kami dengan baik. Saya bersumpah dengan nama Allah SWT, kami mendapat apa yang terbaik. Apa yang saya cakap ini ikhlas dari hati saya,” katanya.
Wanita berkenaan merupakan antara 127 rakyat Palestin yang dibawa ke negara ini untuk mendapatkan rawatan akibat peperangan dengan rejim Zionis.
Terdahulu, baru-baru ini tular video memaparkan kekecohan dilakukan sekumpulan rakyat Palestin sehingga ada antara mereka bertindak kasar dengan membaling selipar ke arah salah seorang pegawai penguat kuasa selain merosakkan harta benda premis berkenaan.
Kejadian itu didakwa berlaku kerana kecewa selepas tidak diizinkan untuk menginap di luar WTKL.
Susulan kejadian itu, Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali turut memohon maaf berhubung insiden kekecohan tersebut.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.