Muhyiddin akan didakwa mengikut Akta Hasutan hari ini

Muhyiddin akan didakwa mengikut Akta Hasutan hari ini

Gua Musang: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadapi pertuduhan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang hari ini, susulan ceramahnya berkait raja, agama dan kaum (3R) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.

Polis sebelum ini menyiasat laporan dibuat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.



Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

“Ya Tan Sri Muhyiddin akan didakwa hari ini di Mahkamah Gua Musang berhubung ceramahnya di PRK Nenggiri baru-baru ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kertas siasatan berhubung ucapan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menyentuh isu berkait 3R sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata setakat ini polis sudah mengambil keterangan 66 saksi bagi membantu siasatan.



Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Berikutan itu pada 19 Ogos, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Pengerusi PN berkenaan yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap bekas Perdana Menteri itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

Rabu lalu Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen kepada polis sepanjang tempoh sejam memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R.



Proses itu dilakukan di pejabatnya yang terletak di bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Sementara itu, Kamaruddin berkata, tujuh peguam akan mewakili Muhyiddin termasuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selain peguam peribadi bekas Perdana Menteri itu dan peguam daripada parti.

“Kita akan sediakan barisan peguam untuk membela Tan Sri (Muhyiddin), peguam yang ada tujuh, tapi mungkin tambah lagi kerana kadang-kadang kita perlukan pakar dalam hak asasi.

“Takiyuddin antara barisan peguam dan Tan Sri pun ada peguam peribadi termasuk (peguam) parti sama ada BERSATU dan PN, jadi bergabung la.



“Peguam mana yang akan mengetuai nanti bergantung kepada Tan Sri, hari ini dengar bacaan sahaja (didakwa), bukan bicara lagi,” katanya. BH

Muhyiddin akan didakwa mengikut Akta Hasutan hari ini

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



UMNO bukan parti abah saya

Pesta ‘clubbing’ di hadapan masjid biadap dan dikecam



Fenomena ‘Barkoba’ datang sekali, Bell terkejut tembusi tiga kategori ABPBH 36

Filem lucah terpapar pada ruang iklan awam gemparkan penduduk [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker