Mahkamah Persekutuan tidak melanggar domain prerogatif Diraja, boleh semak keputusan Lembaga Pengampunan

Mahkamah Persekutuan memutuskan ia mempunyai bidang kuasa menyemak keputusan Lembaga Pengampunan mengenai tarikh mula hukuman penjara ganti.

Mengumumkan keputusan majoriti, pengerusi panel Hakim Harmindar Singh Dhaliwal berkata, mahkamah tertinggi itu boleh menyemak kes sedemikian jika ia termasuk dalam bidang kuasa Akta Semakan Hukuman Mati Dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Hakim Hanipah Farikullah bersetuju dengan Harmindar, manakala Hakim Nordin Hassan membuat penghakiman bertentangan.

Majoriti hakim membenarkan permohonan empat pesalah dadah, termasuk dua wanita warga asing, agar hukuman penjara 30 tahun mereka bermula dari tarikh tangkap.



Dengan itu, mahkamah membatalkan perintah Lembaga Pengampunan Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan bahawa hukuman penjara itu bermula dari tarikh pengampunan diberikan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi membantah permohonan itu dengan alasan mahkamah tertinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak pengampunan bawah undang-undang 2023 itu berikutan pemansuhan hukuman mati mandatori oleh Parlimen tahun lepas.

Remedi yang boleh diguna pakai adalah dengan merujuk kembali kepada lembaga-lembaga berkenaan untuk menyemak semula hukuman,

 katanya.



N Sivananthan, yang mewakili P Balakrishnan dan G Jiva selaku peguam berkata, pihak berkuasa penjara gagal merujuk kes anak guamnya untuk disemak oleh Lembaga Pengampunan, menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan khidmat guaman.

Peguam itu berkata, intipati perbahasan di Parlimen mengenai undang-undang itu jelas menunjukkan, perundangan yang diluluskan bermaksud merangkumi mereka yang diberi pengampunan dan yang tidak.

Dalam kes ini, dilihat seolah-olah pesalah yang (semakan hukuman mereka) didengar oleh mahkamah berada dalam kedudukan lebih baik berbanding pesalah yang digantikan hukuman mereka oleh lembaga (pengampunan). Tidak mungkin ini tujuan perundangan tersebut,

 katanya.



K Simon Murali, yang mewakili warga Thailand Phrueksa Thaemchim, 40, selaku peguam berhujah, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa menyemak permohonan anak guamnya berdasarkan duluan kes M Rajendran dan G Krishna Rao.

Pada 16 Nov tahun lepas, panel lima hakim mahkamah tertinggi itu menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat yang dikenakan oleh Lembaga Pengampunan Perak terhadap Rajendran, 56, dan Krishna Rao, 47, dengan hukuman penjara 36 tahun.

Kedua-dua disabitkan bersalah membunuh empat orang, termasuk isteri dan anak seorang tukang emas di Ipoh pada 1998.

Mahkamah tertinggi itu juga memerintahkan hukuman mereka bermula 13 Mac 1998, iaitu hari mereka ditangkap.



Simon berkata, Mahkamah Persekutuan tidak melanggar domain prerogatif diraja bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana undang-undang 2023 itu memberi kuasa kepada mahkamah untuk menyemak kes tanpa mengira sama ada pengampunan diberikan atau tidak.

Peguam Abdul Rashid Ismail, yang mewakili warga Zambia Mailesi Phiri, 47, berkata sebarang percubaan menghalang anak guamnya mendapatkan semakan akan mencabul haknya menurut Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Hukuman mati Balakrishnan, 47, disahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 14 Mac 2012, tetapi Lembaga Pengampunan Kedah menggantikannya dengan penjara 30 tahun bermula 29 Mac 2022.

Berikutan keputusan hari ini yang menyaksikan tarikh mula hukumannya diundur kepada 28 April 2002, serta mengambil kira pengurangan satu pertiga tempoh penjara atas tingkah laku baik, Balakrishnan akan dibebaskan sebaik sahaja menerima 12 sebatan rotan.



Jiva, 54, yang hukumannya diganti oleh Lembaga Pengampunan Pulau Pinang, perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun lagi sebelum dibebaskan.

Phrueksa, yang menerima pengampunan daripada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, dan Mailesi, yang diberikan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan Pulau Pinang, akan dipenjarakan lima tahun lagi sebelum dibenarkan pulang ke negara asal.

Sivananthan memberitahu pemberita, keputusan hari ini membuka ruang kepada 70 banduan lain dalam situasi yang sama untuk mendapatkan semakan.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

UMNO bukan parti abah saya

Pesta ‘clubbing’ di hadapan masjid biadap dan dikecam

Fenomena ‘Barkoba’ datang sekali, Bell terkejut tembusi tiga kategori ABPBH 36

Filem lucah terpapar pada ruang iklan awam gemparkan penduduk [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker