PRK Dun Mahkota: Antara calon pilihan BN

PRK Dun Mahkota: Antara calon pilihan BN

PENGUMUMAN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diwakili Barisan Nasional (BN) Selasa lalu, memberi isyarat jelas parti itu akan mempertahankan kerusi berkenaan.

Pengerusi BN dan Presiden UMNO itu juga memaklumkan parti sudah bersiap siaga menghadapi PRK dijadualkan pada 28 September depan, apatah lagi mendapat perkhabaran gembira Parti Amanah Negara (AMANAH) mengalah di Mahkota.



Ia diperkuatkan lagi dengan kenyataan dibuat Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memberi sokongan kepada BN untuk bertanding.

Ia sekali gus menjadi petanda paling jelas kedudukan calon Kerajaan Perpaduan untuk DUN Mahkota walaupun Majlis Presiden PH belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu setakat ini.

Bagaimanapun, ia sedikit pun tidak menjejaskan khabar angin siapa calon BN bakal ditampilkan pada PRK DUN Mahkota yang semakin hangat diperkatakan kebelakangan ini. Menurut sumber BN Johor, antara nama disebut-sebut sebagai calon adalah Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin.

Sumber itu berkata, kerusi DUN Mahkota sebelum ini diperuntukkan kepada calon Wanita UMNO dan sudah pasti sayap parti itu akan berusaha untuk memastikan ia kekal menjadi milik mereka.



“Zainani kini memangku jawatan Ketua UMNO Wanita Kluang selepas pemergian Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, iaitu penyandang kerusi DUN Mahkota yang meninggal dunia 1 Ogos lalu, dilihat calon paling sesuai.

“Apatah lagi, penduduk DUN Mahkota sudah sinonim dengan aura Wanita UMNO berikutan legasi Sharifah Azizah sangat kuat di Kluang, malah Allahyarham dipanggil ‘ummi’ kerana sikapnya sentiasa mesra mendampingi masyarakat, selain keberadaannya mudah dilihat di kawasan,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, nama lain turut disebut-sebut adalah Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah. Sejauh mana kebenarannya, masih menjadi teka-teki, tetapi Syed Hussein dikatakan mempunyai reputasi amat baik berikutan sangat aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan dan persilatan menjadikannya dikenali di Kluang, selain generasi muda.

Perlu nilai kriteria calon anak tempatan, muda



Atas faktor ini, UMNO/BN mungkin perlu menilai kriteria calon anak tempatan, muda, berstatus boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable), maka Syed Hussein mungkin tidak boleh diketepikan.

Walaupun Zainani dan Syed Hussein dikatakan antara nama ‘popular’ yang kerap menjadi sebutan dan mendapat dilaporkan mendapat dukungan kuat UMNO Bahagian Kluang yang diterajui Datuk Jais Sarday, namun kejutan tetap boleh terjadi iaitu mungkin Jais sendiri diangkat sebagai calon oleh pucuk pimpinan parti.

Jais pernah memenangi kerusi DUN Mahkota selama dua penggal sejak 2008 hingga 2018 dan pernah dilantik sebagai EXCO Johor dengan portfolio paling kanan. Namun beliau tidak bernasib baik apabila tsunami politik melanda negara pada 2018 menyebabkannya tewas di kerusi itu.

Bermakna, nama Jais tidak boleh diketepikan begitu sahaja walaupun beliau dilaporkan tidak berminat bertanding. Namun, ahli UMNO dikenali dengan sikap taat kepada pemimpin. Jika diarahkan bertanding, sudah pasti amanah itu akan tetap dipikul.



Khabar angin paling mengejutkan setakat ini adalah spekulasi kemungkinan Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali Shahrol Shiro turut memasuki senarai nama bakal dipilih sebagai calon BN bagi DUN Mahkota.

Nama bekas Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) itu mula menjadi sebutan kerana memiliki reputasi tersendiri, termasuk dikatakan aktif dalam kerja kemasyarakatan di Kluang, selain mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan atasan UMNO Johor. Namun, Shahrul Shiro tidak mempunyai jawatan di Bahagian Kluang apatah lagi tewas kepada Syed Hussein pada pertandingan Ketua UMNO Bahagian Kluang sebelum ini. Maka laluannya dilihat sukar.

Pada masa sama, terbit juga desas-desus menyatakan pimpinan Wanita UMNO ingin membawa Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim yang juga bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO supaya bertanding di situ.

Ia berikutan Wanita UMNO berpandangan bakat kepemimpinan Norshida perlu ditampilkan di peringkat negeri, apatah lagi menganggap beliau pemimpin Wanita berpotensi diangkat sebagai pemimpin pelapis.



Nama Norshida berputik atas faktor beliau sebelum ini sudah berkorban memberi laluan kerusi DUN Buloh Kasap yang disandangnya kepada Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Johor.

Walaupun pelbagai spekulasi dan desas-desus penuh warna berkenaan bakal calon BN pada PRK DUN Mahkota berlegar ketika ini, sudah pasti pucuk pimpinan parti akan meneliti dari segenap aspek bagi memastikan strategi untuk mengekalkan kerusi berkenaan tidak tersasar.

Apa yang pasti, UMNO/BN perlu sedar cabaran sebenar PRK DUN Mahkota nanti bukan sahaja dalam soal pemilihan calon tepat, bahkan persaingan daripada BERSATU yang sudah membulatkan keputusan untuk bertanding di kerusi itu serta kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru jika ada calon Bebas bertanding nanti. BH

PRK Dun Mahkota: Antara calon pilihan BN



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Siapa hero sebenarnya?

‘Pulangkan balik ikan haruan itu’

Punca Syamsul failkan perceraian terhadap Ira Kazar

Muhyiddin bakal bawa kekalahan kepada PN pada PRU16

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker