Imuda dapat Datuk, Sabri tumpang bangga

Imuda dapat Datuk, Sabri tumpang bangga

Pelawak dan kartunis, Imuda, antara 103 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk pada istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Pulau Pinang 2024 semalam.

Pengarah Sabri Yunus antara rakan artis yang menzahirkan ucapan tahniah dan perasaan bangganya terhadap penganugerahan diterima Imuda itu.



“Tahniah Imuda. hari ini bergelar Dato A Rahim Muda. Turut berbangga,” katanya.

Sabri, 62, kemudian sempat mengimbau detik kenangan bagaimana dia dan Imuda berkenalan suatu ketika dulu.

Kata pengarah Pok Ya Cong Codei itu, kali pertama dia terserempak sosok Imuda ialah sewaktu mereka berada dalam sebuah lif dan ketika itu anak kelahiran Bukit Mertajam terbabit sudah dikenali ramai.

“Aku kenal dia, dia sudah terkenal sebagai kartunis, wajah dia aku tengok dalam majalah Dewan Budaya, artikel tentang Pelayaran Inderaputera dan wataknya Ujang.



“Dalam lif dia hanya sedikit tersenyum. Bulan Ogos tahun sama, aku juga dapat kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Aku satu bahagian dengan dia di unit reka bentuk. Dua tahun kemudian dia dipinjamkan ke bahagian penerbitan umum untuk layout (reka letak) majalah Dewan Pelajar.

“Aku dipinjamkan ke bahagian sastera untuk reka letak majalah Dewan Sastera, kemudian pada 1986 diwujudkan bahagian majalah. Kami berdua di bahagian baru bersama empat lagi pelukis lain,” katanya.

Bukan setakat itu, Sabri juga berkata dia dan Imuda pernah menyertai pertandingan menyanyi bersama-sama.



Katanya, kumpulan mereka yang dinamakan D’Baham bertanding merebut kemenangan di antara bahagian lain dalam majalah.

“Ini gambar ketika kami masuk pertandingan nyanyi antara bahagian. Kumpulan kami namanya D’ Baham.. singkatan daripada nama bahagian majalah.

“Aku yang bagi nama itu. Kami betul-betul dibaham pada peringkat akhir. Imuda tarik diri peringkat itu dan diganti dengan orang lain,” katanya.

Untuk anak seni Pulau Pinang



DSPN dikurniakan kepada individu-individu yang menyumbang perkhidmatan yang istimewa serta mempunyai kedudukan yang tinggi.

Mereka yang dikurniakan darjah itu digelar Datuk dan isterinya Datin. Kurniaan tersebut dihadkan kepada 1,600 orang yang masih hidup.

Istiadat pengurniaan berkenaan dibuat sempena ulang tahun kelahiran ke-75 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Ahmad Fuzi Abdul Razak, diadakan di George Town sejak 27 Julai dan berakhir hari ini.

Hari Ulang Tahun Yang di-Pertua Pulau Pinang disambut secara rasmi pada 13 Julai 2024 namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada sambutan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.



Sementara itu, dalam satu temubual media tempatan, Imuda menzahirkan perasaan gembira menerima penganugerahan tersebut.

“Saya berasa amat bangga kerana menerima penganugerahan daripada TYT Pulau Pinang.

“Selepas begitu lama berkecimpung dalam dunia hiburan sejak 40 tahun lalu, inilah masa dan saatnya untuk meraikan kejayaan.

“Bukan saja untuk diri saya tetapi juga buat seluruh anak seni yang lain di negeri Pulau Pinang,” katanya.



Imuda memilih kerjaya sebagai pelukis dengan syarikat penerbitan tempatan sebelum melebarkan sayap bersama DBP.

Karya-karya kartunis itu banyak diterbitkan oleh Gila-Gila, Berita Minggu dan Gelihati.

Selain itu, Imuda juga popular melalui sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Kampung Seri Wangi.

Dia juga pernah membintangi puluhan filem-filem popular antaranya Mekanik, Kembara Seniman Jalanan, Mat Gelap dan Mat Som. Mk

Imuda dapat Datuk, Sabri tumpang bangga

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

70,000 kondom tak cukup, Olimpik jadi gelanggang lampias nafsu

‘TV3’ nikahi ‘RTM’ di dalam zoo

Ini cara sindiket curi kereta di JB curi kenderaan dalam 30 saat

Model jelita mati ditikam, teman lelaki diberkas polis

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker