Ini jenayah kejam paling jarang ditemui – Hakim
Ini jenayah kejam paling jarang ditemui – Hakim
Mahkamah Rayuan di sini hari ini menyifatkan kes pembunuhan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu sebagai jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga hakim bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin berkata kejadian itu berpunca daripada perbuatan tertuduh pertama hingga keenam.
Tertuduh Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali ialah bekas penuntut UPNM.
Hadhariah berkata, mahkamah bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh itu dilakukan bukan sahaja mengejutkan hati nurani kehakiman tetapi juga hati nurani masyarakat.
Beliau yang membacakan alasan penghakiman bertulis 93 muka surat dalam tempoh lebih tiga jam, berkata perbuatan sebegitu paling jarang ditemui daripada kes yang pernah berlaku membabitkan jenayah kekejaman yang amat merbahaya kepada masyarakat dan ia harus dihentikan.
“Ibu bapa mana tidak berasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat simati dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati. Benar kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancur dan luluh hati dan perasaan mereka apabila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam-enam tertuduh ini seolah-olah tubuh badan simati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai di kaca mata mereka sehingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini.
“Mahkamah tidak akan bertoleransi di dalam kejadian sebegini. Ibu bapa mana yang sanggup menanggung derita melihat anak kesayangan mereka diseksa sebegini rupa sehingga membawa kepada kematian simati di dalam keadaan yang sungguh mengerikan,” katanya.
Hakim itu berkata, oleh itu mahkamah sebulat suara memutuskan bahawa hanya satu hukuman yang wajar dijatuhkan terhadap tertuduh yang mana mereka hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Katanya, mahkamah memutuskan rayuan pendakwaan terhadap hukuman 18 tahun penjara yang dikenakan Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati, manakala rayuan balas tertuduh terhadap hukuman ditolak.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November 2021 mendapati semua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara. BH
Ini jenayah kejam paling jarang ditemui – Hakim
Baca Artikel Menarik:
- Sepatutnya gantung Wan Fayhsal setahun
- MCA bakal tinggalkan BN?
- Tak sempat sambut ulang tahun kahwin bulan depan
- Kes pukul OKU pekak, NGO gesa percepat pendakwaan
- Bunuh lalu bakar mayat, 3 sekawan didakwa
- Jailani terikat aku janji, kena bayar ganti rugi – Ab Rauf
- Anak umur 7 tahun jadi imam, Syatilla Melvin menangis ketika solat
- Intan Najuwa nak saman
- Apa akan jadi dengan Peja?
- Nabil tempah iklan ‘billboard’ minta cuti
- Tak perlu tunggu 24 jam untuk lapor orang hilang – KPN
- Angin berhembus ucapan terima kasih mangsa (Video)
- Jamal rugi RM2 juta
- Pan-gon perlu bayar lebih RM3 juta
- ADUN Rembia kena sedia bayar denda RM100 juta – Dr Akmal
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.