Jailani berkemungkinan hilang kerusi DUN Rembia

Jailani berkemungkinan hilang kerusi DUN Rembia

Datuk Muhammad Jailani Khamis kemungkinan besar akan hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Melaka, jika gagal membuktikan kemasukannya dalam PAS pada Jun tahun lalu.

Ini kerana beliau sebelum ini pernah menafikan penyertaannya dalam parti lain dan hanya dikenakan tindakan penggantungan oleh UMNO.



Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata agak sukar untuk membuktikan Muhammad Jailani sudah menyertai PAS kerana kenyataan yang diberikannya sebelum ini agak bercanggah.

Malah katanya, Muhammad Jailani juga tidak memaklumkan mengenai perkara itu kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka serta tidak menukar tempat duduk di blok pembangkang.

“Pada pendapat saya bagi kes ADUN Rembia ini, kerusi itu berkemungkinan akan diisytiharkan kosong. Dia akan hilang kerusi kecuali dapat buktikan dia memang masuk PAS sebelum Akta AntI Lompat parti itu dikuatkuasakan.

“Sebenarnya, jika betul dia sudah keluar parti sebelum penguatkuasaan akta itu, sepatutnya dia maklumkan kepada Speaker kerana dalam rekod DUN, Muhammad Jailani ini masih UMNO.



“Jika pada ketika itu dia isytiharkan dan buat surat kepada Speaker, dia akan selamat (tidak perlu kosongkan kerusi),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan penyertaan Muhammad Jailani dalam PAS sejak Jun tahun lalu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023.

Katanya dengan perkembangan itu, komposisi DUN Melaka kini dianggotai tiga wakil pembangkang, meningkat seorang berbanding selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021.



Malah Takiyuddin turut menyanggah kemungkinan Muhamad Jailani perlu mengosongkan kerusi memandangkan kedudukannya sebagai ADUN Rembia tidak tergugur kerana penyertaan ke dalam PAS dibuat sebelum pindaan Perlembagaan Melaka dilakukan.

Muhamad Jailani sebelum ini menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket PKR dan beliau antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada PRN 20 November 2021.

Dalam pada itu, Mazlan berkata agak sukar untuk mempertahankan kerusi berkenaan kerana sekiranya terdapat bukti yang diberikan, ia berkemungkinan boleh diragui.



“Misal kata menjadi ahli PAS dan ada surat, tetapi surat itu boleh ‘backdated’, orang lain boleh buat macam-macam. Salahnya adalah dia tidak maklumkan kepada Speaker dan ia ibarat tidak sah lah.

“Sama macam kalau kita menikah di Siam, walaupun ia tidak salah dan halal tetapi dalam undang-undang di Malaysia ia tidak sah. Mereka ini kena denda dan daftarkan kembali perkahwinan mereka di sini.

“Jadi Speaker boleh buat keputusan, sebab dia tidak dimaklumkan dan tidak tahu mengenai keahlian itu. Kerana dalam rekod Speaker itu sendiri, Muhammad Jalilani ini masih UMNO,” katanya. BH

Jailani berkemungkinan hilang kerusi DUN Rembia



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Amat bahaya kalau saya dedahkan alasan letak jawatan – Pan Gon



Apa maksud Pan-gon dengan bahaya? — TMJ

‘Posting’ terakhir Nur Farah sebelum ditemui maut dibunuh

Perpisahan jalan terbaik – Nourul Depp

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker