Tahanan rumah: Mahkamah tolak permohonan Najib

Tahanan rumah: Mahkamah tolak permohonan Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak gagal mendapat kebenaran untuk meneruskan semakan kehakimannya untuk dibenarkan menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak tindakan undang-undang Najib berhubung kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.



Hakim Amarjeet Singh memutuskan semua afidavit yang mendakwa kewujudan titah addendum berkenaan hanyalah khabar angin semata-mata.

Mahkamah memutuskan afidavit daripada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail tidak menunjukkan pengetahuan secara langsung mengenai kewujudan perintah tambahan Lembaga Pengampunan itu.

Amarjeet berkata kedua-dua afidavit itu sebaliknya hanya memetik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz (gambar atas) yang mendakwa kewujudan titah addendum itu.

Hakim itu berkata Najib selaku pemohon semakan kehakiman tidak pernah cuba mendapatkan Zafrul untuk mengesahkan kewujudan titah addendum itu sejak awal lagi.



Amarjeet juga memutuskan dua afidavit Najib sendiri yang menyokong tindakan kebenaran semakan kehakiman hanya mengandungi ‘kenyataan kosong tanpa menyebut sumber dan kepercayaannya tentang kewujudan perintah tambahan itu’.

“Saya dapati kedua-dua afidavit adalah, pada tahap tertinggi, khabar angin tulen,” hakim mahkamah membuat keputusan sebelum menolak permohonan itu tanpa perintah mengenai kos.

Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah kemudian memaklumkan Amarjeet bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Peguam itu juga berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memfailkan tindakan undang-undang berasingan berhubung dakwaan titah tambahan diraja itu, iaitu dalam bentuk writ saman di mahkamah sivil.



Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi mewakili kerajaan persekutuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu membenarkan permohonan Najib untuk memasukkan dua afidavit tambahan dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkannya bagi mencabar kewujudan perintah adendum yang dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Dua afidavit itu ialah sokongan diikrarkan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail serta ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor April lepas.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu pada 1 April lepas dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.



Antara lain, bekas perdana menteri itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan 2024.

Najib juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan di rumah.

Dia kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.



Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Mk

Tahanan rumah: Mahkamah tolak permohonan Najib

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Nora Danish enggan dedah penyakit Nedim

Fazura, Fattah bermasalah, dakwa netizen

Kenapa produk Neelofa ni, siap berair?

Nora Danish tutup aurat sebab jaga bekas suami

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker