PKR teliti tindakan undang-undang pihak kaitkan parti dengan Liberal International

PKR akan meneliti tindakan undang-undang terhadap pihak yang berniat jahat mengaitkan parti itu dengan Liberal International.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata parti itu tidak pernah menjadi ahli Liberal International dan pertubuhan berkenaan, yang berpangkalan di London, telah mengeluarkan nama serta logo PKR daripada laman sesawangnya.

“Semalam saya dah umumkan bahawa PKR bukan ahli dalam Liberal International dan saya telah berhubung dengan pihak Liberal International.



“Jadi, saya akan minta kawan-kawan terutama peguam untuk mengambil kira tohmahan dan fitnah jahat yang dibuat oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaitkan PKR dengan Liberal International dengan niat yang jahat…kita akan teliti sekiranya ada keperluan kita akan ambil tindakan perundangan,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pemerkasaan OKU Celik Digital di Kuala Lumpur hari ini.

Semakan terkini di laman sesawang organisasi itu mendapati nama dan logo PKR yang sebelum ini tersenarai bersama beberapa parti atau pertubuhan lain bagi negara-negara Asia sudah tiada.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata berdasarkan maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, terdapat lebih 200 kandungan berkait Liberal International yang cuba menyerang PKR serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.



“Jadi memang ada tingkah laku yang terselaras dan ini adalah serangan politik… penting untuk saya jelaskan secara fakta bahawa PKR bukan ahli Liberal International. Jadi hentikanlah tohamahan dan fitnah yang cuba dilempar,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker