Michael Ang dakwa Caprice ‘pusing’ sampai netizen gesa saya keluar Islam

Gara-gara tuduhan tidak berasas yang dikatakan berpunca daripada ulasan aktivis kemanusiaan sensasi Caprice mendakwa dirinya sebagai penyokong Israel, pengarah dan penerbit, Michael Ang menerima kecaman hebat sehingga digesa keluar daripada agama Islam.

Michael, 47, berkata, timbul salah faham yang mengakibatkan netizen sewenang-wenang menuduh dirinya menyokong kekejaman Israel terhadap Palestin, baru-baru ini.

“Saya tak kisah bila orang gelar saya tak layak bergelar muslim yang baik. Itu urusan antara saya dan Allah SWT.

“Lagi pun saya tidak perlukan pendapat orang lain, mengatakan saya seorang muslim yang baik,” katanya.

Pada masa sama, Michael yang ditemui semasa sidang media dan sesi rakaman program Dapur Tempur Selebriti cuba memperbetulkan keadaan selepas disindir penyanyi Caprice apabila dikatakan menyokong Israel.

Menurut Michael, timbul salah faham dalam perkongsian Instagram baru-baru ini sehingga dia dituduh menyokong Zionis, sedangkan hakikatnya dia tidak suka pada peperangan dan mahukan keamanan.

“Caprice memanipulasi kenyataan dan mengatakan saya menyokong keganasan Israel. Itu tidak adil. Caprice ada berjuta-juta pengikut sehingga membuatkan saya dihentam dan diserang pengikutnya,” ujarnya.

Kata Michael, dia tidak menyebut mana-mana pihak dalam hantaran tersebut namun hanya pernah berdepan dengan pengalaman Instagramnya disekat daripada melakukan sesi siaran langsung (live) selama dua bulan disebabkan lantang menghentam Israel.

“Pada tahun 2021, saya secara lantang telah menghentam tindakan Israel sehingga perkongsian saya dalam Instagram dipadam dan disekat daripada melakukan live selama dua bulan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Michael menegur penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan itu supaya memahami dahulu sesuatu kenyataan sebelum terus membuat kesimpulan tanpa usul periksa.

“Saya harap dia hadam kenyataan yang saya keluarkan. Jangan terus main tembak,” tegur Michael.

Terdahulu, Caprice menerusi satu hantaran video dalam Instagramnya menyindir Michael apabila seolah-olah menuduh pengarah itu menyokong kekejaman Israel terhadap Palestin.

Tindakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli itu sekali gus membuatkan Michael bengang dan meminta supaya penyanyi itu tidak menjadi batu api.

Menurut Michael, dia bukan sahaja membenci tindakan rejim zionis itu malah mengkritik sokongan kuasa besar dunia yang membantu Israel melakukan keganasan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker