‘Hero Covid-19’ kini Canselor Universiti Cyberjaya

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai Canselor Universiti Cyberjaya (UoC) berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

UoC memaklumkan, Dr Noor Hisham menggantikan Profesor Emeritus Tan Sri Anwar Ali yang telah bersama dengan universiti itu sejak 2019.

Menurutnya, pelantikan Dr Noor Hisham sebagai Canselor ketiga itu dibuat kerana reputasi kerjaya yang luar biasa sebagai bekas Ketua Pengarah Kesihatan selain mempunyai peranan penting dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).



“Dr Noor Hisham membawa pelbagai pengalaman dan kepakaran kepada institusi kami.

“Visi beliau sejajar dengan misi UoC iaitu menyediakan akses yang adil dan saksama kepada pendidikan perubatan berkualiti serta menyumbang kepada penjagaan kesihatan global.

“Kami yakin kepimpinannya akan mendorong UoC ke tahap yang baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dr Noor Hisham bersara sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada April lalu selepas 35 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam, namun kini kembali bertugas di Insititut Endokrin Hospital Putrajaya.



Difahamkan, beliau bakal menawarkan khidmatnya di bilik pembedahan institut berkenaan pada setiap Isnin dan konsultasi di klinik pada Selasa

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, beliau berbesar hati dilantik sebagai Canselor UoC dan berhasrat menggunakan peranannya bagi meningkatkan akses kesihatan serta kesaksamaan di rantau ini.

“Saya berbangga dapat berkongsi visi dan misi UoC. Saya percaya universiti ini ada potensi besar di Malaysia dan di luar negara untuk berusaha menjadi hab pendidikan penjagaan kesihatan terbaik di wilayah Pasifik Barat,” ujarnya.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker