Megat Zulkarnain tekad rampas DUN Gombak Setia, Hilman yakin dipilih lagi

Megat Zulkarnain tekad rampas DUN Gombak Setia, Hilman yakin dipilih lagi

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menggalas tanggungjawab berat untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Bekas kubu kuat UMNO itu dirampas PAS lebih dua dekad lalu sebelum beralih ke dalam genggaman PKR dan kini disandang BERSATU.



Dianggap antara kerusi tumpuan setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) dan kali ini PRN, Gombak Setia yang sebelumnya dikenali sebagai DUN Gombak jatuh ke tangan PAS pada PRU 1999 yang meletakkan agamawan terkenal, Datuk Ismail Kamus ketika itu.

Dalam tempoh 1999 hingga 2022, hanya sekali kerusi berkenaan berjaya dirampas semula BN, iaitu pada PRU 2004 melalui Yuszahari Mohd Yusof. Selepas itu, ia kembali ditawan PAS selama dua penggal sebelum dimenangi calon PKR mewakili Pakatan Harapan (PH), Muhammad Hilman Idham pada 2018.

Pada PRU14, bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu memperoleh 24,157 undi bagi menewaskan calon PAS, Hasbullah Mohd Ridzwan yang mendapat 11,758 undi dan Megat Zulkarnain yang memperoleh 11,113 undi.

Muhammad Hilman bagaimanapun menyertai kumpulan wakil rakyat PKR dalam Langkah Sheraton, meninggalkan parti diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu untuk bersama-sama BERSATU yang kemudian keluar PH dan menubuhkan gabungan baharu, Perikatan Nasional (PN).



Disebabkan itu, PKR melabel DUN Gombak Setia sebagai kerusi ‘pengkhianat’ yang perlu dirampas semula, namun tanggungjawab berkenaan diberikan kepada UMNO dengan mengharapkan majoriti pengundi memberi mandat kepada Megat Zulkarnain pada cubaan keduanya di kerusi terbabit.

Seorang lagi pencabar di DUN Gombak Setia ialah calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali.

Penyertaan Megat Zulkarnain kali ini sebenarnya adalah percubaan ketiga beliau dalam pilihan raya selepas tewas di Parlimen Gombak ketika PRU15, November tahun lalu.

Kedua-dua calon utama dilihat merasai tekanan tersendiri, dengan Muhammad Hilman tentunya mahu mengekalkan penguasaan dan menamatkan momokan pengkhianat dengan membuktikan beliau memiliki pengaruh besar di Gombak Setia.



Megat Zulkarnain yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula pastinya enggan ‘pisang berbuah tiga kali’, sekali gus harus memastikan kemenangan di kampung sendiri.

Berdasarkan undian di saluran DUN Gombak Setia pada PRU15, BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan memiliki kelebihan untuk menang, dengan gabungan undi diterima gabungan itu dan PH tahun lalu mencecah 42,231 berbanding 25,358 undi diperoleh PN.

Apa yang boleh menjadi faktor penentu ialah sama ada ahli dan penyokong PH sedia memberi undi kepada BN pada 12 Ogos nanti.

Hakikat itu diakui jentera PH di Gombak Setia, yang memaklumkan penerimaan pengundi, khususnya daripada kaum Cina, tidak begitu terbuka untuk memberi undi kepada calon BN, selain wujud dakwaan ada perpecahan dalam kalangan UMNO Bahagian Gombak sendiri.



Bagaimanapun, Megat Zulkarnain yang ditemui selepas menyantuni pengundi, tetap percaya peluangnya untuk menang lebih baik berbanding percubaan sebelum ini, khususnya berdasarkan sokongan dan kerjasama baik jentera PH dan BN sepanjang kempen yang bermula Sabtu lalu.

Menafikan dakwaan wujud perpecahan dalam kalangan akar umbi UMNO di Gombak, beliau yakin isu sokongan dalam kalangan pengundi BN dan PH dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang PRN Sabtu minggu depan.

“Saya akui peluang kali ini lebih baik, tapi itu tak boleh dijadikan alasan untuk rasa selesa, sebaliknya saya akan terus peka dan sensitif dengan isu berterusan yang dialami rakyat di Gombak Setia,” katanya.

Selaku anak jati Gombak, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) itu yakin memiliki kelebihan kerana amat memahami isu tempatan yang sudah berlarutan sejak sekian lama, sekali gus memilih slogan ‘Dari Gombak Untuk Gombak’.



“Sebagai anak jati, saya tahu masalah di sini. Muhammad Hilman mungkin perlu cari rumah di sini dulu sebelum nak guna slogan ‘Gombak Setia Rumah Kita’,” katanya sinis, merujuk slogan digunakan lawannya sepanjang kempen PRN kali ini.

Muhammad Hilman pula mahu menggunakan isu tempatan yang tidak diselesaikan kerajaan Selangor sebagai strategi menarik pengundi, selain yakin telah memberi perkhidmatan terbaik sebagai wakil rakyat Gombak Setia sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengakui berdepan cabaran sengit daripada lawannya kerana Megat Zulkarnain memiliki sokongan jentera kerajaan Persekutuan dan negeri, yang memberi kelebihan kepada BN dalam PRN kali ini.

“Namun, saya yakin rakyat cukup matang untuk membuat pilihan dan sebab itu saya guna slogan ‘Gombak Setia Rumah Kita’ kerana saya menganggap penduduk yang pelbagai di kawasan yang kecil ini sebagai sebuah keluarga besar.



“PRN ini adalah waktu untuk rakyat membuat keputusan secara objektif dengan meneliti isu seharian yang dihadapi mereka untuk memilih pemimpin bagi membaiki, memajukan serta memperhebat kawasan ‘rumah kita’ di Gombak Setia dan Selangor,” katanya.

Antara isu mahu diangkatnya termasuk soal pengurusan sisa pepejal yang tidak terurus, kerosakan paip air yang kerap di kawasan itu, khususnya di Seri Gombak, selain tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) menswastakan dewan orang ramai hingga menyebabkan kos sewaan melonjak.

“Contohnya di Dewan Beringin di Taman Seri Gombak, kadar sewaan asal RM500 melonjak kepada RM4,000 selepas diswastakan, tidak termasuk kos sewa meja, kerusi dan penyaman udara,” katanya.

Mengenai kelebihan lawannya jika mengambil kira undi diterima PH dan BN pada PRU15, Muhammad Hilman tetap optimis dengan peluangnya untuk kekal berkhidmat sebagai wakil rakyat Gombak Setia kerana situasi politik yang berbeza ketika ini. BH

Megat Zulkarnain tekad rampas DUN Gombak Setia, Hilman yakin dipilih lagi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Puteri Sarah mengamuk dengan netizen “bodoh”

“Kau ambil laki orang boleh pulak ” – Ira Kazar kena ‘bedil’ dengan netizen

David Teo berdoa agar Masya Masyitah mendapat hidayah

Ain Husniza Dah Jadi Siti Kasim Junior

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker