Pemilihan UMNO: Ramai cabar Ketua Bahagian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan

PASIR SALAK: Tidak puas hati terhadap pemimpin sedia ada menyebabkan pemilihan UMNO kali ini menyaksikan sebahagian besar ketua-ketua bahagian dicabar oleh ahli parti itu.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana orang muda lebih sedar terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Menurutnya, apabila golongan itu melihat pemimpin yang ada tidak bertanggungjawab atau gagal dalam melaksanakan peranannya, maka mereka bangkit.

“UMNO hari ini berbeza dengan pemimpin sebelum ini, dahulu semasa mereka memimpin, UMNO aman damai dan berperanan menjaga agama, bangsa dan tanah air,: katanya ketika ditemui.

Ketika itu katanya, UMNO tidak berkompromi dalam hal-hal perjuangan tetapi sekarang banyak kompromi dengan pihak lawan, dahulu mana ada UMNO berkompromi dengan DAP, tetapi sekarang ada yang kata DAP bagus, macam mana tu?

“Prinsip perjuangan asal kini telah dikompromikan, terhakis dan dihakis. Semangat roh perjuangan UMNO tidak seperti dulu yang kental tegas tidak mudah mengalah tetapi sekarang banyak yang mengalah, itulah masalahnya,” ujarnya.

Pemilihan UMNO 18 Mac ini bakal menyaksikan lebih 11,000 calon akan bertanding merebut pelbagai jawatan dalam parti di peringkat bahagian dan pusat.

Sementara itu, Tajuddin mengulangi pendirian tetap berjuang untuk UMNO walaupun keahliannya digantung.

Menurutnya, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti selain UMNO walaupun ada mendapat tawaran.

Katanya, beliau tetap bersama UMNO kerana beliau tidak mengejar jawatan dalam parti.

“Kalau dalam UMNO saya tiada jawatan pun tidak apa, saya tetap akan terus berjuang bersama UMNO selagi badan sihat, umur panjang saya akan terus memperjuangkan UMNO demi UMNO dan ahli-ahlinya, juga demi orang Melayu dan Islam,” katanya.

Menurutnya, beliau akan terus bertegas dalam perjuangan bersama UMNO dan akan memberi pandangan, teguran dan sumbangan sekiranya ada yang tidak betul dalam parti itu.

“Cuma sekarang saya dalam tempoh bertenang, mendiamkan diri, tidak banyak buat kenyataan. Kalau ada salah faham saya dengan mana-mana pihak, kalau boleh tidak mahu berpanjangan, mahu selesaikan secara baik.

“Tetapi kalau pihak-pihak yang berkenaan mahu tunjuk sikap berterusan, berpanjangan bergaduh, saya akan lawanlah, saya akan lawan, akan tetap lantang tetapi kalau boleh mari kita cari jalan yang tidak perlu konfrontasi sesama pemimpin dan ahli,” katanya

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker