Riwayat UMNO, siapakah yang perlu berkorban siapa yang akan terkorban

SEBELUM masuk gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN) dari pengamatan atas kertas memang tidak memiliki sebarang kelebihan untuk menang.

Tidak ada data empirikal meskipun siri pilihan raya kecil dan dua daripada empat pilihan raya negeri (PRN), Melaka dan Johor disapu bersih BN.

Malah, sukar meletakkan BN selaku favourite sebab kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah ‘kerajaan BN’ dalam erti kata sebenar. Sekalipun kerajaan sementara atau caretaker government wujud semasa kempen PRU15, ia tidak pula dimonopoli sepenuhnya menteri daripada BN.

Malah sebahagian besar menteri dan timbalan menteri yang datang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang membentuk Perikatan Nasional (PN) semasa tempoh caretaker masih boleh menggunakan peruntukan untuk rakyat dalam kempen PRU15. Antaranya, memberi bantuan kewangan untuk membaiki jambatan usang, baik pulih sekolah daif dan sumbangan kepada mangsa banjir.

Dan akhirnya terbukti benar, keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan undi bukan Melayu tetapi kehilangan undi Melayu. Yang tewas adalah UMNO, hanya menang 26 daripada 120 kerusi Parlimen. Kekalahan paling teruk dalam sejarah sejak PRU pertama 1955. MIC pula menang satu kerusi manakala MCA cuma dua.

Dalam pada itu, PKR meraih 31 daripada 102 kerusi. Bahkan, dalam PH yang memenangi 82 kerusi, DAP menjadi blok terbesar dengan 40 kerusi. PKR yang mengatasi DAP meraih 49 kerusi berbanding 42 semasa PRU14 kini di kedudukan nombor dua.

Dan parti pemenang terbesar pula adalah Pas. Pas muncul blok terbesar dalam Dewan Rakyat dengan 49 kerusi di sisi tonggaknya, Bersatu (28). Meskipun UMNO tersungkur teruk, kali ini untuk PRU15 tindak balasnya cukup luar biasa kerana presiden parti tidak mengambil tindakan terhormat mengundur diri mengambil tanggungjawab.

Apa sebenarnya yang berlaku dalam PRU15 tempoh hari terhadap UMNO? Barangkali ini rumusannya:

1. Penolakan pengundi Melayu
Semua kubu kuat UMNO selama ini dibedal gelombang penolakan ini. Pengundi Melayu memilih PN kerana itulah pilihan terbaik yang ada di tangan pengundi Melayu kerana UMNO diketuai seorang pemimpin yang ditolak pengundi kerana isu-isu peribadi beliau. Bagaimanapun, pemimpin UMNO masih tidak sedar atau buat-buat tidak sedar fenomena ini.
Alasan mereka kerana PN menabur duit yang banyak semasa kempen PRU lalu. Alasan ini amat lemah kerana selama ini pun UMNO mempunyai dana yang besar gagal menambat hati pengundi Melayu di Kelantan, Terengganu dan Selangor.

2. Kelemahan presiden UMNO

Presiden UMNO bagaikan tiada arah tuju untuk membangkitkan semula UMNO pada PRU15. Pelbagai retorik dicipta, namun tidak lekat di hati pengundi. Misalnya calon UMNO hendaklah bercirikan WALI. Namun, hakikatnya tidak. Wali hanya di mata presiden, bukan di hati pengundi dan akar umbi. Akibatnya UMNO kalah teruk dalam sejarah penglibatannya dalam pilihan raya. Presiden berkehendakkan calon parti seorang wali, padahal dirinya sendiri pun tiada bersifat wali. Akibatnya calon-calon lain menanggung beban atas liabiliti presiden kalah dalam PRU15.

Kempen pilihan raya BN yang sendu, tiada kempen mega seperti PN dan PH dan tidak seperti yang berlaku semasa PRN Melaka dan Johor.

3. Gelagat pentaksub presiden
Penolakan pengundi kepada UMNO juga disebabkan gelagat dan tindak tanduk pentaksub presiden. Mereka ini banyak mendukung presiden di media sosial dan secara terbuka. Apa sahaja tindakan presiden disokong membabi buta oleh mereka menyebabkan makin ramai pengundi dan rakyat meluat kepada UMNO.

Hujahan yang diutarakan untuk mempertahankan presiden amat dangkal dan seolah mengecilkan keupayaan daya fikiran rakyat yang sangat terdedah dengan segala macam maklumat. Di zaman maklumat di hujung jari ini rakyat yang berfikiran waras dapat menilai yang mana betul dan yang tidak tepat.

4. Gabungan atau jajaran politik baharu akan melemahkan UMNO
Kerjasama politik UMNO dan PH masih belum teruji. Ujian pertama pada enam PRN tidak lama lagi. Cabaran utama adalah soal pembahagian kerusi. Berapakah agihan kerusi UMNO terutama di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang diterajui oleh PH?

Perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin bahagian dan akar umbi UMNO akan wujud sekiranya bilangan kerusi terutama kerusi tradisional yang ditandingi UMNO tidak lagi mencalonkan ahli UMNO. UMNO akan dilihat berperanan lebih kecil dalam PRN ini. Ini akan menjadi titik tolak perpecahan yang lebih besar kepada UMNO yang berkemungkinan penghijrahan besar-besaran pemimpin dan ahli UMNO kepada PN.

Selain itu, adakah pengundi Melayu akan menerima pendekatan kerjasama UMNO/BN dengan PH yang dianggotai DAP? Kecurigaan pengundi Melayu terhadap DAP sukar dibendung disebabkan tindak tanduk parti tersebut serta UMNO selama ini telah menindoktrinasi dalam pemikiran orang Melayu yang DAP adalah musuh orang Melayu.

5. Pemilihan semua jawatan UMNO wajar dilaksanakan
Untuk memastikan riwayat UMNO dalam lanskap politik Malaysia, jawatan presiden dan timbalan presiden serta semua jawatan lain mesti dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun ini.
Beri peluang dan ruang kepada mereka untuk mempersembahkan tawaran baharu mereka kepada akar umbi. Bertandinglah secara sihat dan bertamadun bagi memastikan UMNO mempunyai hala tuju yang jelas. Jangan disekat dan diperlekehkan ahli yang hendak menawarkan diri untuk parti.-UTUSAN

DATUK Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalis isu-isu semasa

 

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


KKM sah pecat doktor HKL yang biadab dan kurang ajar dengan Najib

Suami Isteri dicekup khalwat, kad nikah jadi penyalamat

Pendakwa GAGAL buktikan wang masuk dari MOF Saudi bukanlah derma

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker