Tambah bahan kempen melalui media sosial

Oleh Rohana Man

SEBARAN poster seperti ini yang dikongsi di platform media sosial perlu diperbanyakkan menjelang hari pembuangan undi pada Sabtu ini.

SHAH ALAM – Gabungan Veteran dan Mubarak Selangor (Gavems) yakin calon Barisan Nasional (BN), Isham Jalil mampu meraih kemenangan merebut kerusi Parlimen Shah Alam pada Sabtu ini.

Setiausahanya, Dr. Faizal Mohd Arif berkata, pihaknya ada membuat analisis dan jangkaan yang mana didapati peluang Isham pada awal kempen adalah 40-60.

Namun, katanya, gerak kerja yang dilakukan jentera kempen termasuk kerjasama Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang aktif dan meliputi seluruh kawasan Shah Alam membantu Isham meningkatkan peluang untuk menang.

“Hasil kempen yang berterusan dan konsisten memperjuangkan isu penduduk setempat mendorong pihak kami meletakkan jangkaan peluang 50-50.

“Tapi masih ada dua hari lagi untuk menggerakkan jentera kempen.

“Insya-Allah, jika momentum sekarang dikekalkan, Isham ada peluang untuk menang,” katanya kepada MyTV Online.

Ditanya, parti mana yang memberi saingan sengit kepada BN, Faizal berkata, persaingan nampaknya datang daripada Perikatan Nasional (PN).

Justeru, beliau menasihatkan jentera Isham melipatgandakan kempen menerusi media sosial seperti Facebook, TikTok, Twitter dan Instagram.

Selain itu, katanya, isu penduduk setempat seperti banjir dan ekonomi anak muda yang sukar mendapat kerja perlu diberi perhatian lebih serius.

“Untuk mengatasi masalah banjir kilat, longkang perlu didalamkan, selain membersihkan sampah yang tersekat dalam aliran longkang,” katanya.

Mengulas mengenai kempen yang digerakkan jentera Isham, katanya, kempen sekarang sudah okey, tetapi hujung-hujung kempen menjelang hari pembuangan undi pada Sabtu ini, jentera calon perlu bekerja lebih sedikit dalam menyebarkan bahan kempen ke platform media sosial untuk menjamin kemenangan.

“Lebihkan kempen dalam media sosial. Saya difahamkan terdapat kira-kira 60,000 orang termasuk anak muda berusia 18 tahun yang akan keluar mengundi buat pertama kali,” tambahnya.

Justeru itu, katanya, kena ada strategi bagi menarik undi pertama itu agar memihak kepada calon BN.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker