Isham sudah bersedia sejak enam tahun lalu

Oleh Azrin Muhammad

CALON Barisan Nasional (BN), Isham Jalil sudah mendalami serta merangka landskap politik dan pentadbiran untuk Shah Alam dan Selangor sejak enam tahun lalu.

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN), Isham Jalil telah menyediakan pelbagai perancangan untuk mengubah landskap politik di Shah Alam sejak enam tahun lalu walaupun ketika itu tidak bertanding merebut kerusi Parlimen di kawasan itu.

Antara tiga perkara asas yang menjadi fokus utama beliau adalah masalah banjir dan air, masalah pekerjaan dalam kalangan generasi muda dan ketidakcekapan kerajaan ekoran kes rasuah yang berleluasa.

“Enam tahun lalu, saya pernah menulis artikel mengenai isu banjir kerana saya dapati ia berlaku kerana saliran tidak diselenggara dengan baik walaupun kerajaan Selangor mengutip cukai paling tinggi dalam negara berjumlah RM3 bilion setahun.



“Sama juga dengan masalah air, saya sudah perjuangkan sehingga saya disaman Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tetapi akhirnya saya menang kes berkenaan di Mahkamah Tinggi.

“Data menunjukkan 260,000 kes daripada 400,000 kes seluruh negara berlaku di Selangor, hal ini tidak boleh dibiarkan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah Isham, masalah sosisoekonomi juga tidak terlepas daripada perhatian pihaknya kerana data yang diperolehi mendapati generasi muda di Shah Alam tidak mempunyai pekerjaan sejurus tamat pengajian.

Katanya, sebahagian besar daripada golongan berkenaan mula berkecimpung dengan industri perniagaan kecil-kecilan tetapi menghadapi masalah perlesenan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).



“Tempoh hari, saya berkunjung ke pasar malam, kebanyakan mereka yang berniaga mengeluh secara bersemuka dengan saya mengenai kepayahan mendapatkan lesen.

“Berniaga tidak mendapat untung yang banyak tetapi berisiko menghadapi kerugian apabila perlu membayar saman daripada PBT,” katanya.

Isham memberitahu, pihaknya akan berusaha membuat rundingan dengan kerajaan negeri untuk memudahkan proses perlesenan khususnya melibatkan perniagaan generasi muda.

Dalam masa sama, Isham juga menyentuh hasrat meningkatkan kecekapan kerajaan khususnya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan laporan kes rasuah paling tinggi melibatkan Selangor dan Pulau Pinang, dua minggu lalu.



“Ketidakcekapan kerajaan menyebabkan kelewatan dalam proses urus tadbir.

“Hal sedemikian akan mendorong berlakunya jenayah rasuah dan hal ini tidak boleh berlaku.

“Saya mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam sektor kerajaan, jadi saya tahu apa yang perlu dibuat untuk menbendung masalah ini dengan berkesan,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker