Pembubaran parlimen budi bicara PM, tidak pernah mana-mana PM bawanya ke kabinet – Menteri Undang-Undang
Tidak pernah ada seorang perdana menteri berbincang dengan kabinetnya sebelum memulakan langkah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar parlimen dibubarkan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, walaupun begitu kabinet mengetahui kemungkinan tersebut dan cadangan berkenaan ada dibincangkan.
“Semenjak kemerdekaan Malaya pada 1957, perdana menteri tidak pernah bincang isu ini dengan jemaah menteri. Ini budi bicara perdana menteri,” katanya.
Tambah ahli parlimen Santubong itu lagi idea mengenai pembubaran parlimen dan kemungkinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Agong ada dibincangkan dalam mesyuarat kabinet pada dua minggu lalu.
Pun begitu, katanya, terserah kepada Agong untuk menilai cadangan yang dibawa perdana menteri.
“Sebab ada (peruntukan) dalam Perlembagaan Persekutuan, Tuanku (Agong) boleh tidak (menerima) ataupun menangguhkan permohonan perdana menteri.
“Kalau ini berlaku, ia adalah keputusan Agong,” katanya di parlimen hari ini.
Untuk rekod baru-baru ini Ismail Sabri ada menyatakan dia perlu mendapatkan persetujuan daripada kabinet sebelum mempersembahkan cadangan pembubaran parlimen kepada Agong.
Pada 155 Mei lalu Malaysiakini melaporkan Ismail Sabri sebagai berkata dari segi prosedur kabinet memberi mandat kepadanya untuk menemui Agong bagi membawa cadangan tersebut.
Naib Presiden Umno itu juga menegaskan, menjadi kuasa Agong sama ada menerima atau menolak cadangan berkenaan.