PAS bebas guna logo sendiri dalam PRU-15 jika bersama UMNO

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan bahawa PAS perlu segera memutuskan kerjasamanya dengan Perikatan Nasional (PN) jika mahu terus bekerjasama dengan mereka.

Tegas Ahmad Zahid, PAS juga sedia maklum dengan syarat Umno itu dan telah menetapkan tarikh akhir untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak menjelaskan lebih lanjut bila tempoh masa tersebut.

“Keputusan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) ialah mengabsahkan jika PAS mahu bersama-sama dengan kita (Umno) setelah memenuhi syarat-syarat yang telah kita tentukan.



“(Oleh itu PAS perlu putuskannya) secepat yang mungkin dan mereka tahu tarikh akhir yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas pertemuan khas pemimpin bahagian dengannya dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Umno sebelum ini menetapkan tiga syarat utama untuk dipenuhi PAS, sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menjelang PRU ke-15.

Syarat-syarat itu ialah keluar PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu mufaraqah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.



Boleh guna lambang PAS

Sementara itu, kata Zahid jika PAS memutuskan untuk bersama Umno, parti itu boleh menggunakan lambang mereka dalam PRU akan datang.

“Jika mereka mahu bersama-sama dengan Umno dan BN, mereka bebas untuk menggunakan lambang parti mereka tetapi kita boleh bertoleransi untuk menjalin kebersamaan kita bagi menghadapi pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Zahid juga memaklumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju menyokong semua calon Umno-BN pada PRU akan datang.



“Kami amat menghargainya dan semoga perkara ini dapat direalisasikan apabila tiba masanya,” katanya.

Kerajaan Negeri Sabah didukung oleh Adun GRS dan BN.

GRS yang diterajui Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor terdiri daripada Bersatu, PBS, SAPP, STAR, dan Usno.

Dalam pada itu, Zahid turut memaklumkan BN menerima permohonan daripada parti-parti lain untuk menyertai gabungan itu.

Beliau berkata, permohonan yang dikemukakan akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

“Kami yakin dengan empat parti teras, lapan parti gabungan dan tujuh lagi parti baru yang mahu menyertai BN sebagai friends of BN atau parti teras,” katanya.

Related Articles

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker