Lantikan Exco Perak dari PAS, kita akan penuhkan dan cadangkan – MB Perak

 

IPOH: Lantikan Exco daripada PAS dalam kerajaan negeri Perak hanya akan dimuktamadkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, kata Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Beliau yang juga Ketua Umno negeri berkata pihaknya hanya boleh mencadangkan nama Exco mengikut kesesuaian tetapi hak untuk memperkenan lantikan itu terletak pada kuasa mutlak Sultan Perak.



“Kita akan penuhkan (jumlah Exco) sebagaimana sebelum ini dan bila sampai masanya pelantikan itu akan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas secara rasmi memasuki pejabatnya di sini hari ini.

Saarani berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan membuat sedikit pengubahsuaian dan penambaikan mengikut kesesuaian semasa.

“Itu pun saya akan buat kajian semula sebab berasaskan kepada 9 bulan yang lalu sudah tentu kita akan membuat kajian tentang kesesuaian (Exco).

“Mungkin ada pengubahsuaian kepada portfolio dipegang bagi tujuan memperbaiki kalau ada kelemahan sepanjang tempoh 9 bulan yang lalu,” katanya.



Saarani berkata, beliau juga akan mengadakan mesyuarat pertama Exco Isnin ini diikuti perjumpaan bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Selasa untuk taklimat belanjawan sebelum pembentangan dibuat pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Katanya, beliau sendiri akan membentangkan belanjawan kali ini serta membuat penggulungan berikutan lantikan Exco belum selesai sepenuhnya.

Semalam, majlis pelantikan lima Exco dibuat selepas majlis angkat sumpah menteri besar di Istana Iskandariah tanpa membabitkan wakil PAS.

Empat daripada mereka adalah dari Umno dan seorang, PPBM.



Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam kenyataannya yakin parti itu tidak akan ditinggalkan dalam pembentukan Exco Kerajaan negeri baharu.

Razman yakin semangat setiakawan dan penyatuan ummah yang terjalin antara PAS dan UMNO akan terus kekal.

Saarani menggantikan Ahmad Faizal Azumu dari PPBM yang terpaksa berundur setelah ditolak oleh ADUN Umno dan Pakatan Harapan dalam usul kepercayaan terhadapnya di Dewan Undangan Negeri minggu lalu.

Susulan itu, PAS mengambil ketetapan tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak, namun kelmarin, menyatakan sokongan terhadap Saarani sebagai menteri besar baharu.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker