Azeem Fahmi pecah rekod 100m kebangsaan
Azeem Fahmi pecah rekod 100m kebangsaan
Muhammad Azeem Fahmi tidak lagi menoleh ke belakang sejak insiden ‘hitam’ Sukan SEA 2022 apabila memecah rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan sensasi 10.09 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia awal pagi tadi.
Pelari remaja berusia 18 tahun itu memadam rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan, 10.18s, sekali gus melayakkannya ke separuh akhir yang akan berlangsung pada 4.40 pagi esok.
Catatan 10.09s itu juga yang kedua terpantas dalam kalangan 60 perserta di peringkat saringan. Catatan terbaik peringkat awal 100m dilakukan pelari Botswana, Lestsile Tebogo yang mencipta rekod baharu kejohanan, 10s.
Kejayaan Azeem membuktikan dia sudah melupakan insiden di Sukan SEA Hanoi, Mei lalu, di mana dia tidak dapat memulakan perlumbaan gara-gara false start.
Pelari dari Perak itu juga tampak bersedia untuk bergelar atlet pertama Malaysia mencatat masa bawah 10s.
Azeem kini mendahului senarai pelari remaja terpantas Asia, mengatasi atlet Jepun, Hiroki Yanagita, 19, yang memegang catatan 10.16s, diikuti juara Sukan SEA Hanoi, Puripol Boonson (10.19s).
Sementara itu, atlet lontar peluru lelaki negara, Jonah Chang turut cemerlang mara ke saingan akhir selepas melakukan lontaran 18.97m. Peringkat akhir acara lontar peluru juga akan berlangsung 6.15 pagi esok waktu Malaysia. Utusan
Azeem Fahmi pecah rekod 100m kebangsaan