Hanya 4 Duta Terima Watikah Pelantikan Duta Tidak Termasuk Duta ke Indonesia
Oleh Tun Teja
ISU para duta baru bakal menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong pada hari ini menjadi panas apabila Duta ke Indonesia dikatakan tidak termasuk dalam senarai menerima watikah tersebut.
Hanya empat duta baru dikatakan akan menerima watikah tersebut iaitu duta Malaysia ke Jepun, Arab Saudi, Iran dan Korea Selatan.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia telah diluluskan oleh Kabinet dan mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Persoalan samada nama Ahli Parlimen Pasir Salak itu tiada dalam senarai penerima watikah atau pelantikannya telah dibatalkan terus menjadi tanda tanya.
Pelantikan Tajuddin sememangnya mencetuskan pelbagai reaksi. Ramai pihak mempersoalkan keupayaannya untuk menjadi diplomat kerana rekod prestasinya yang dilihat agresif dan sering mencetuskan kontroversi.
Beliau dipecat sebagai pengerusi Prasarana pada Mei tahun lalu. Sikap tidak sensitif Tajuddin terhadap kemalangan LRT yang menyebabkan ramai cedera dikatakan menjadi punca pemecatan tersebut.
Ahli parlimen Pasir Salak itu juga dipecat dari jawatan ahli majlis tertinggi Umno yang dilantik. Ini disebabkan perselisihan yang berlaku antara Tajuddin dengan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Kita sedang menunggu penjelasan dari pihak yang berkenaan mengenai penerimaan watikah Duta Malaysia ke Indonesia.